[VIDEO] Jalur Gemilang terbalik: Pemilik kedai perkakasan dibebaskan dengan jaminan polis

A
A
A

GEORGE TOWN – Pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana yang ditahan bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan premisnya telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di sekitar Kepala Batas pada malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, tangkapan melibatkan seorang individu sahaja dan semua keterangan serta syarat berkaitan telah selesai diambil.

“Lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 3 petang semalam.

“Seramai 10 orang telah diambil keterangan untuk siasatan dan polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden berkenaan,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Tugas Ketua Polis Pulau Pinang di Mess Pegawai Kanan Polis Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Bertam, Kepala Batas yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.

Laporan Sinar Harian berhubung polis terima 16 laporan, seorang ditahan ke Jalur Gemilang terbalik
Laporan Sinar Harian berhubung polis terima 16 laporan, seorang ditahan ke Jalur Gemilang terbalik

Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai dakwaan terdapat pihak yang mahu mengadakan demonstrasi berkaitan isu itu, Anuar mengesahkan polis menerima maklumat berkenaan.

“Kita telah mengambil langkah untuk menasihati mereka agar tidak meneruskan tindakan tersebut bagi mengelakkan sebarang masalah ketenteraman di kawasan terlibat,” katanya.

Sebelum ini, polis menerima sebanyak 16 laporan di seluruh negara berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik, termasuk 12 laporan di Pulau Pinang dan empat lagi dari luar negeri itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Anuar berkata pihaknya telah membawa keterangan kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin bagi mendapatkan arahan pertuduhan.

“Kertas diserahkan kepada TPR hari ini untuk tindakan selanjutnya, jadi kita tunggu keputusan daripada TPR untuk pendakwaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!