Termakan kerang tercemar boleh keracunan dalam 30 minit - Pakar

Po Teen ketika melakukan ujikaji mengenai alga berbahaya dari perairan pantai terjejas.
Po Teen ketika melakukan ujikaji mengenai alga berbahaya dari perairan pantai terjejas.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada memakan kerang yang dikutip dari kawasan perairan terjejas kerana ia boleh menyebabkan keracunan dalam tempoh hanya 30 minit.

Pensyarah dari Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Lim Po Teen berkata, simptom awal keracunan kerang adalah lumpuh atau 'paralytic shellfish poisoning' (PSP) termasuk kebas pada bibir dan lidah.

Dalam kes yang lebih teruk, menurut beliau, mangsa boleh mengalami kelumpuhan dan kegagalan pernafasan.

"Sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda keracunan perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.

"Toksin yang bertanggungjawab dikenali secara kolektif sebagai Saxitoxin iaitu neurotoksin yang sangat kuat dan bertindak menghalang saluran natrium.

"Terdapat lebih dari 50 jenis Saxitoksin dan dua miligram (mg) sahaja sudah cukup untuk mengakibatkan kematian pada orang dewasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menasihatkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) untuk melarang nelayan mengutip, mengambil dan menuai kerang-kerangan (dwicengkerang) di perairan Port Dickson buat sementara waktu.

Pengarahnya, Kasim Tawe memaklumkan, keputusan ujian sampel air laut daripada Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) menunjukkan bahawa bacaan biotoksin melebihi paras dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, pihaknya akan melakukan pensampelan kedua ke atas kerang dan kupang di perairan itu sebelum larangan rasmi serta keputusan ujian makmal dikeluarkan pada Khamis atau Jumaat ini.

Pasukan penyelidikan Po Teen berpusat di Stesen Penyelidikan Marin Bachok, Kelantan mengkaji fenomena letusan alga berbahaya selama lebih 25 tahun dengan menumpukan spesies yang menyebabkan keracunan manusia dan kematian ikan besar-besaran.

Penemuan alga beberapa tahun lalu berhampiran Stesen Penyelidikan Marin Bachok dan beberapa spesies plankton baharu dikenal pasti.
Penemuan alga beberapa tahun lalu berhampiran Stesen Penyelidikan Marin Bachok dan beberapa spesies plankton baharu dikenal pasti.

Po Teen menambah, fenomena letusan alga berbahaya berlaku apabila spesies fitoplankton tertentu membiak dengan cepat dan berlebihan di kawasan perairan pantai.

Katanya lagi, toksin daripada mikroalga boleh terkumpul di dalam kerang penapis seperti tiram, kerang dan kupang apabila ia terjadi berhampiran kawasan akuakultur.

"Apabila paras toksin melebihi had selamat, kerang tersebut tidak lagi selamat untuk dimakan. Kes PSP bukanlah perkara baharu di Malaysia dengan kejadian pertama direkodkan sekitar 1970 lampau dan pernah berlaku setiap tahun di banyak negara lain.

"Pemantauan plankton dan kerang secara berkala oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) amat penting untuk mengesan penemuan awal, sekali gus mengelakkan kerang tercemar daripada memasuki pasaran dan melindungi kesihatan awam.

"Apabila letusan alga berakhir, kerang boleh menyingkirkan toksin secara semula jadi tetapi proses ini boleh mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!