Tak mahu insiden kupang beracun berulang - Penternak

PORT DICKSON – Penternak kupang di perairan Pasir Panjang, di sini berharap insiden kupang beracun yang pernah melanda kawasan itu tahun lalu tidak akan berulang kembali.
Walaupun masih belum ada sebarang pengesahan daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan berhubung perkara itu, namun mereka telah pun mengambil langkah berjaga-jaga.
Seorang penternak, Mohd Hairel Mohd Rashid, 33, berkata, beliau telah mengambil tindakan segera memaklumkan kepada pihak Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang apabila mengesan fenomena alga di perairan tersebut pada 5 Ogos lalu.
"Selain itu, keadaan air laut ini didapati kotor di sesetengah tempat dan banyak kerang mati, terutama di bahagian darat.
"Mungkin banyak faktor yang menyebabkannya, tetapi kalau ikutkan simptom ini sama seperti tahun lepas, semasa kes pencemaran berlaku," katanya.
Menurutnya, dalam tempoh sembilan bulan insiden pencemaran biotoksin berlaku tahun lalu, beliau mengalami kerugian hampir RM50,000.
Ujarnya, walaupun mengakui pendapatannya akan terjejas teruk sekiranya insiden sama berulang, namun soal nyawa menjadi keutamaan.
"Saya harap keadaan yang berlaku ini bukanlah pencemaran seperti tahun lepas dan kali ini kami ambil langkah awal supaya tiada yang menjadi mangsa keracunan," katanya.
Sementara itu, peniaga PNK Telok Kemang, Mohamad Naun Yusof, 56, berkata, sejak kejadian terburuk pencemaran biotoksin di kawasan itu tahun lalu, beliau tidak lagi menjual hidupan laut dwicangkerang.
"Masa itu, walaupun yang terjejas hanya hidupan dwicangkerang, tetapi orang pun takut nak datang beli ikan di sini kerana beranggapan ikan turut tercemar.
"Sebab itu sejak kejadian itu, saya tak berani lagi nak jual kupang atau kerang sebab kalau ia tercemar, sangat berisiko kerana melibatkan soal nyawa," katanya.
Bagaimanapun, beliau belum mendapat maklumat berhubung larangan membeli dan menjual hidupan laut terbabit yang dikeluarkan oleh PNK Telok Kemang.
Sementara itu, Pengurus Besar PNK Telok Kemang, Mohd Faudi Mohamed Zakaria, berkata, walaupun masih belum ada pengesahan daripada Jabatan Perikanan, tetapi pihaknya mengambil langkah awal membuat hebahan sebagai tindakan berjaga-jaga.
Jelasnya, langkah itu diambil bagi mengelakkan ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital akibat keracunan.
"Kita dah ada pengalaman sebelum ini yang mana kita hanya mengetahui hasil dwicangkerang laut di sini tercemar selepas ada orang awam dirawat di hospital kerana keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang.
"Jadi kali ini, bila dapat maklumat, kita bertindak awal dengan terus buat hebahan di peringkat dalaman kepada penternak dan peniaga, selain memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan," ujarnya.
Ini kerana katanya, kesan pengambilan dwicangkerang tercemar seperti kerang dan kupang bukan sahaja boleh menyebabkan cirit-birit, tetapi juga kehilangan nyawa.
Tahun lalu, media melaporkan bahawa lapan individu terpaksa dimasukkan ke hospital, dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.
Kesemua mangsa mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki serta lemah otot, manakala dua kes dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala lebih serius iaitu paralisis (kelumpuhan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

