Jalur Gemilang terbalik: Anthony ingatkan jangan menangguk di air keruh

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan tindakan mengadakan protes di premis perniagaan dan mengajar mengibar bendera sebagai respons kepada kesilapan pemasangan Jalur Gemilang sebagai perbuatan yang tidak wajar dilakukan.
Beliau mengingatkan agar tiada pihak yang 'menangguk di air keruh' dengan mengambil kesempatan terhadap insiden tersebut, kerana perbuatan itu lebih menyerupai pembuli dan jelas ditolak oleh rakyat Malaysia.
Menurutnya, dalam menangani apa-apa insiden kesilapan berkenaan bendera, pihak berkuasa yang bertanggungjawab adalah polis dan mereka perlu diberi ruang untuk bertindak secara adil serta saksama berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
“Dalam kehangatan kita menunggu ketibaan 31 Ogos, beberapa insiden terpencil baru-baru ini di mana bendera Jalur Gemilang dipasang secara tidak betul telah menjadi polemik yang hangat dalam media sosial dan berpotensi menyimpang fokus sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. Itu sebabnya ada undang-undang khusus untuk mengawal selia pengibarannya.
“Mana-mana penyalahgunaan dan kesilapan berhubung dengan bendera dan lambang negara seperti Jalur Gemilang dan Jata Negara adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengajak orang ramai bersama-sama ‘mengajar’ dua individu di Bertam, Pulau Pinang itu cara yang betul memasang Jalur Gemilang pada Isnin ini.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menjelaskan, pengibaran Jalur Gemilang merupakan salah satu manifestasi dan cara untuk menunjukkan semangat cintakan negara.
Katanya, semangat patriotisme seseorang rakyat tidak boleh dinilai semata-mata dengan satu bentuk sahaja.
“Setiap orang mempunyai cara yang berlainan untuk menunjukkan kecintaan mereka kepada negara dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh memonopoli erti patriotisme.
“Sempena Hari Kebangsaan yang akan datang ini, marilah sama-sama menguatkan perpaduan sesama kita, menghormati kepelbagaian antara satu sama lain dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang ke arah pembangunan serta kemajuan Malaysia yang kita cintai bersama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

