Jalur Gemilang terbalik: Adakah individu ini OKU juga? - Dr Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan sama ada individu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata, tindakan individu tersebut bukan sahaja mengejek malah dilihat sengaja meminta gambarnya dirakam sambil memegang bendera dalam keadaan terbalik seolah-olah menghina lambang negara ini.
"Cukup-cukuplah menghina negara ini. Perbuatan ini jelas menunjukkan tiada rasa hormat terhadap negara.
"Saya ingin bertanya, adakah ada pihak yang mahu membela tindakan ini? Adakah individu ini OKU juga hingga diminta bergambar begitu? Ini satu penghinaan," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki kelihatan sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Tambah Akmal, permohonan maaf sahaja tidak memadai kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi contoh buruk yang mendorong orang lain melakukan perkara sama.
Beliau turut memaklumkan, Pemuda UMNO Pulau Pinang dan seluruh negara telah diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap individu berkenaan.
"Kita mesti kenakan tindakan keras kepada mereka yang tidak mahu menghormati negara ini. Jangan hanya sekadar meminta maaf dan dibiarkan. Tindakan tegas perlu diambil bagi memberi pengajaran.
"Saya minta juga kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama membuat laporan polis bagi kita desak kerajaan untuk petualang ini ditangkap dan dikenakan hukuman! Ibarat kaduk naik junjung, otak bengap.
"Negara ini ada maruahnya, jika maruah negara ini sedang dipijak dan kita tidak berbuat apa-apa, maka hinalah diri kita ini yang bergelar rakyat Malaysia," tegas beliau.
Sementara itu, dalam hantaran video berasingan, Akmal turut mengajak orang ramai bersama-sama mengajar dua individu di Bertam, Pulau Pinang, cara yang betul memasang Jalur Gemilang pada Isnin ini.
Tegas beliau, tindakan itu perlu diambil selepas kedua-dua individu terbabit dilihat tidak mengetahui atau mengabaikan cara pemasangan bendera Malaysia yang sepatutnya.
"Saya sudah dapat pengesahan dua individu itu memang berasal dari Pulau Pinang, dia telah membuat laporan polis kononnya tidak bersalah. Disebabkan dua orang 'apek' ini mungkin tidak tahu cara pasang bendera Malaysia dengan betul, maka saya sendiri akan turun untuk mengajar mereka.
"Sesiapa yang nak tolong ajar, jom kita turun sekali nak bagi ajar pada apek ini pada Isnin ini jam 12.30 tengah hari di kedainya di Bertam Kepala Batas Pulau Pinang. Sesiapa yang nak turun, tolong bawa sekali bendera Malaysia. Kepada dua orang apek, lu tunggu, wa datang kasi ajar pasang bendera dengan betul," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah sekolah di Port Dickson memasang bendera Malaysia secara terbalik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, pekerja yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah tersebut merupakan OKU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

