Darjah Satu 6 tahun: KPM adakan libat urus dengan penguasa tadika swasta - Fadhlina

Fadhlina Sidek ketika ditemubual pemberita pada Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Pelepasan Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara hari ini. - Foto: Bernama
Fadhlina Sidek ketika ditemubual pemberita pada Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Pelepasan Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi membincangkan strategi pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke tahun satu bermula pada 2027, selaras dengan pelaksanaan kurikulum baharu persekolahan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas pengusaha tadika bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar dan tersusun.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pengusaha tadika swasta menyatakan sokongan terhadap dasar berkenaan yang disifatkan sebagai langkah memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak, namun KPM mengambil kira beberapa kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya berkaitan penyelarasan tempoh peralihan murid daripada tadika ke sekolah rendah.

"KPM memandang serius setiap pandangan yang disuarakan dan akan meneliti isu-isu berkenaan secara terperinci bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata, sesi libat urus itu mencerminkan komitmen KPM untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam merangka dasar pendidikan yang inklusif dan mampan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kurikulum baharu persekolahan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027 melibatkan murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu di seluruh negara, manakala pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu telah bermula lebih awal iaitu pada tahun ini.

Terdahulu, KPM melaksanakan inisiatif pemberian 145,000 unit susu UHT Farm Fresh Grow secara percuma kepada murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang bagi menyokong aspek nutrisi dan tumbesaran kanak-kanak.

Fadhlina berkata, inisiatif itu turut menjadi galakan kepada murid prasekolah untuk hadir ke sekolah serta memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat pemakanan yang dinikmati oleh murid di peringkat sekolah rendah.

Inisiatif berkenaan, katanya dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik sektor swasta iaitu Farm Fresh. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha tadika swasta untuk bincang strategi pelaksanaan kemasukan murid enam tahun ke tahun satu pada 2027
  • Pengusaha tadika swasta menyokong dasar pendidikan awal kanak-kanak dengan beberapa kebimbangan tentang penyelarasan tempoh peralihan
  • KPM komited melibatkan semua pihak berkepentingan dalam merangka dasar pendidikan yang inklusif dan mampan
  • Kurikulum baharu persekolahan untuk murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027
  • KPM melaksanakan inisiatif pemberian susu UHT Farm Fresh Grow secara percuma kepada murid prasekolah di Pulau Pinang untuk sokong nutrisi dan tumbesaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!