Pemilik kedai perkakasan akui kesilapan, dakwa tidak perasan Jalur Gemilang dipasang terbalik

KEPALA BATAS - Pemilik kedai perkakasan yang tular kerana perbuatan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di sini pada Sabtu memberi alasan sedang mengukur panjang batang besi untuk memasang bendera terbabit di luar kedai.
Pang Chin Tian, 59 berkata, kejadian itu berlaku pada pagi Sabtu dan dia tidak perasan bendera itu dipasang secara terbalik oleh pekerjanya sebelum dia menaikkan batang besi berkenaan.
Malah menurutnya, pekerjanya turut diarahkan mengambil gambar untuk melihat ukuran panjang besi yang perlu digunakan.
"Kita memang nak ukur besi itu tengok berapa panjang dan bendera itu pun belum diikat lagi.
"Ketika video dirakam itu hanya testing (percubaan) sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Chin Tian dan pekerjanya dipanggil polis untuk memberi keterangan berikutan video tular yang mengundang pelbagai reaksi warganet berikutan tindakan mereka memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Beliau yang telah menjalankan perniagaan itu di Taman Bertam Permata, di sini sejak 10 tahun lalu turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan yang dilakukan dan sedia memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.
"Ya kami mengakui kesilapan yang dilakukan dan saya ingin mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas apa yang berlaku," katanya lagi.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di IPD Seberang Perai Utara mendapati beberapa kumpulan badan bukan kerajaan dan UMNO Kepala Batas tampil membuat laporan polis terhadap isu berkenaan.

Turut membuat laporan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku ketika seluruh rakyat sedang menyambut bulan kemerdekaan.
"Alasan yang diberikan tidak boleh diterima dan tak terjangkau logik akal.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan sahaja tetapi perlu dikenakan tindakan tegas agar ia tidak terus menjadi polemik," katanya
Beliau berkata, negara mempunyai peraturan dan undang-undang bagi menghormati maruah lambang dan bendera negara.
Justeru itu, beliau meminta pihak polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas agar kejadian itu menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
