'Dituduh pemalas, sengaja datang kerja lewat'

PUTRAJAYA - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) pendengaran akui melalui pelbagai kesukaran pada awal pembabitannya dalam kerjaya termasuk menjadi mangsa buli rakan sekerja yang mempersoalkan keupayaan dirinya.
Penjawat awam, Siti Noorakmar Ahmad, 48, mendakwa, terdapat segelintir rakan sekerja sanggup yang menuduhnya pemalas dan sengaja datang lewat ke pejabat.
"Oleh kerana saya satu-satunya OKU pendengaran di tempat kerja, jadi selalu ada gosip tentang saya. Pada awalnya saya tidak kisah kerana mereka mungkin masih tidak membiasakan diri.
"Saya perasan yang mereka menuduh saya pemalas dan lambat datang ke tempat kerja. Itu antara yang terkesan kepada saya. Ketika itu, saya belum ada motosikal dan kereta. Saya ulang-alik dari rumah ke tempat kerja menaiki bas sahaja, sebab itu lambat sampai ke pejabat," katanya kepada Sinar Harian.
beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Persatuan Pengajian Al-Quran dan Al-Hadis OKU Pekak Selangor & Wilayah Persekutuan (AQHP) Kali Ketiga di sini pada Ahad.
Program yang berlangsung di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin itu turut dihadiri Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Muhamad Razak Idris dan Presiden Persatuan AQHP, Zainudin Ibrahim.
Ujar Siti Noorakmar yang berasal dari Cheras itu, meskipun sedih dengan perbuatan rakan sekerjanya namun dia mengambil keputusan untuk tetap bersabar supaya tidak mengeruhkan keadaan.
"Kata-kata dan gosip yang dilemparkan kepada saya ini telah menjadi motivasi kepada diri saya untuk mengambil lesen memandu supaya lebih berdikari.
"Apabila sudah ada lesen, saya ulang-alik dari rumah di Kajang ke tempat kerja di Shah Alam menaiki motosikal. Sekarang mereka semua sudah faham dan boleh terima keadaan saya," ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang peserta program, Norhafiza Hamid, 43, berkata, cabaran tertentu turut dihadapinya dari segi belajar membaca al-Quran dan hadis menggunakan bahasa isyarat tangan.
Menurut Norhafiza yang berasal dari Terengganu itu, meskipun proses pembelajaran pada awalnya sukar namun dia berjaya memahirkannya menerusi usaha dan latihan yang berterusan.
"Saya juga sertai kelas pembelajaran yang diadakan dua minggu sekali di sebuah masjid di Klang, dengan kehadiran sekitar 60 peserta. Semuanya daripada kalangan OKU pekak.
"Antara cabaran yang dihadapi ialah membezakan huruf-huruf Arab yang bentuknya hampir sama dan memastikan ejaan serta penulisan tepat.
"Saya harap dapat membantu orang lain yang ingin belajar bahasa Arab atau al-Quran dengan berkongsi ilmu yang dimilikinya, menggunakan bahasa isyarat dan buku latihan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

