Bantahan Orang Asli dakwa peluasan Westport ancam tanah adat diteliti - Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meneliti isu bantahan penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kurau di Pulau Carey yang mendakwa projek peluasan Pelabuhan Westport mengancam tanah adat dan sumber rezeki penduduk.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dirujuk dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh.
"Saya akan rujuk dalam mesyuarat MMKN sebentar lagi," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Usahawan Program Bazar Ramadan Selangor Tahun 2026 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam, di sini pada Rabu.
Terdahulu, masyarakat Mah Meri menerusi surat undangan kepada media memaklumkan Kampung Orang Asli Sungai Kurau yang diwartakan sejak 1921 kini berdepan ancaman besar susulan cadangan peluasan pelabuhan berkenaan.
Surat itu memaklumkan, seramai 238 penduduk asal mendakwa belum menerima rundingan telus daripada pihak pemaju walaupun projek itu memberi kesan langsung terhadap tanah adat, kawasan perikanan dan kelangsungan budaya.
Mereka mendakwa, pembangunan tersebut boleh menjejaskan kawasan tangkapan nelayan yang menjadi sumber utama pendapatan penduduk selain memberi impak kepada seni ukiran kayu Mah Meri yang diiktiraf sebagai warisan oleh Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) UNESCO.
"Tanah ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi identiti dan warisan kami. Kami tidak mahu warisan ini hanya tinggal sejarah,” kata surat terbabit.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor akan meneliti isu bantahan penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kurau terhadap projek peluasan Pelabuhan Westport
- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, akan merujuk isu ini dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)
- Penduduk Kampung Orang Asli merasa projek peluasan pelabuhan mengancam tanah adat dan sumber rezeki mereka
- Seramai 238 penduduk asal mendakwa belum menerima rundingan telus dari pihak pemaju
- Pembangunan berpotensi menjejaskan kawasan tangkapan nelayan dan seni ukiran kayu Mah Meri yang diiktiraf UNESCO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

