Polis KL jadi IPK pertama buat perhimpunan bulanan waktu malam

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melakar sejarah apabila menjadi kontinjen pertama melaksanakan perhimpunan bulanan pada waktu malam, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penganjuran perhimpunan tersebut selaras dengan peranan pasukan itu yang beroperasi secara berterusan dalam memastikan keselamatan ibu negara.
Menurutnya, pendekatan itu juga mencerminkan kesiapsiagaan warga Polis Kuala Lumpur dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan tanpa mengira masa.
"Perhimpunan bulanan ini dibuat pada waktu malam kerana tugas Polis Kuala Lumpur berjalan sepanjang masa bagi memastikan keselamatan bandar raya ini terus terpelihara,” katanya ketika berucap pada perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan perhimpunan pada waktu malam juga menjadi sebahagian usaha memperkukuh koordinasi operasi serta kesiapsiagaan anggota di lapangan.
Tambah beliau, pihaknya akan terus menambah baik pelaksanaan operasi termasuk mempertingkat rondaan serta kehadiran anggota pada waktu malam di lokasi tumpuan.
"Selepas ini kita akan memperkukuh operasi lapangan termasuk pengurusan operasi dan mesyuarat berkaitan pada waktu malam bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berada pada tahap optimum,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur akan terus memperkukuh pendekatan kepolisan berteraskan komuniti melalui kehadiran anggota di lapangan serta interaksi lebih rapat bersama masyarakat.
Beliau menegaskan setiap tindakan anggota di lapangan memberi kesan kepada tahap keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan.
"Setiap tindakan anggota mencerminkan imej pasukan dan dinilai oleh masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan sesuatu operasi bergantung kepada kerjasama semua anggota tanpa mengira pangkat atau penugasan.
Tambahnya, aspek disiplin, integriti dan profesionalisme akan terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan polis berada pada tahap terbaik.
Dalam masa sama, beliau berkata, kebajikan warga polis dan keluarga mereka akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya, Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiat pelaksanaan operasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan warga kota kekal terjamin.
Beliau berkata, pasukan itu komited mengekalkan tahap profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan ibu negara.
Perhimpunan bulanan tersebut turut menjadi platform penyampaian amanat kepimpinan selain memperkukuh koordinasi antara pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- IPK Kuala Lumpur menjadi kontinjen pertama melaksanakan perhimpunan bulanan pada waktu malam
- Penganjuran perhimpunan malam selaras dengan operasi berterusan polis dalam memastikan keselamatan ibu negara
- Pelaksanaan perhimpunan pada waktu malam meningkatkan kesiapsiagaan dan koordinasi operasi anggota polis
- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkomitmen untuk meningkatkan operasi dan kehadiran polis pada waktu malam
- Polis Kuala Lumpur komited dalam memperkukuh pendekatan kepolisan berteraskan komuniti dan menjaga profesionalisme
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

