Pulau Pinang sasar selesaikan isu 3M, keciciran pelajar menjelang 2030

SEBERANG JAYA - Pulau Pinang menyasarkan untuk menyelesaikan isu 3M (membaca, menulis, mengira) serta kadar keciciran pelajar menjelang tahun 2030 menerusi pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan Program Mutiara Didik Cemerlang Akademik (Mutiara PDCA).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid berkata, pelaksanaan program tersebut merupakan antara langkah strategik bagi menangani cabaran pendidikan yang dihadapi pelajar di negeri ini khususnya dalam kalangan pelajar bumiputera.
Menurutnya, sejak memegang portfolio Exco Pendidikan Negeri, beliau mengambil serius terhadap data awal berkaitan isu 3M yang membimbangkan serta kadar keciciran pelajar.
"Sejak itu, saya sentiasa merangka dasar dan polisi dalam kapasiti saya sebagai Exco Pendidikan bagi memastikan kedua-dua isu ini dapat ditangani menjelang 2030.
"Selain itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan pelbagai agensi sejak 2018 dengan tujuan mencapai visi Negeri Pintar menjelang 2030," katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Guru-Guru Penyelaras Mutiara PDCA Sesi 2025 di sini pada Isnin.
Pada majlis tersebut, Mohamad yang juga Exco Agama Islam Negeri turut menyaksikan penyampaian cek cura berjumlah RM2 juta oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi pelaksanaan program Mutiara PDCA tahun 2025.
Dr Mohamad turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 kepada tiga sekolah terbaik yang melaksanakan program tersebut iaitu SMKA Al-Irshad, SMKA Al-Mashoor (Perempuan) dan SMKA Syeikh Abdullah Fahim.
Program Mutiara PDCA yang dilancarkan sejak 2006 merupakan kerjasama antara tiga agensi penaja utama iaitu MAINPP, Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera (ICU) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan pemantauan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
Sehingga kini, sebanyak 71 sekolah rendah dan 35 sekolah menengah termasuk sekolah agama di Pulau Pinang menerima manfaat tajaan daripada MPDCA MAINPP.
Program ini bertujuan membantu pelajar bumiputera agar tidak tercicir dalam pelajaran dan mampu bersaing dengan kaum lain. Ia merangkumi pemberian modul pembelajaran, kelas tambahan, bengkel dan kem motivasi secara percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh penaja.
Sementara itu, Dr Mohamad berkata, bagi tahun 2025 pelajar Tahun Enam akan mengikuti kelas tuisyen untuk empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Bagi pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan dibimbing dalam 13 subjek termasuk subjek Kurikulum Bersepadu Dini bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Beliau turut menyeru semua guru agar menyokong pelaksanaan Teras Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya Teras Pembangunan Sosioekonomi dengan memberi sokongan kepada institusi zakat di bawah seliaan MAINPP.
“Kita harap usaha ini bukan sahaja mampu membasmi keciciran pelajar, tetapi juga memperkasa pembangunan modal insan Islam di negeri ini seiring dengan visi Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar menjelang 2030,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

