Pulau Pinang harap projek naik taraf Jalan Teluk Kumbar dapat kelulusan penuh

GEORGE TOWN - Projek naik taraf Jalan Teluk Kumbar sepanjang 4.2 kilometer (km) akhirnya mendapat kelulusan awal daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kini hanya menunggu kelulusan penuh daripada Kementerian Ekonomi untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Zairil Khir Johari berkata, kelulusan itu melibatkan kerja menaik taraf Laluan Persekutuan FT006 daripada jalan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong bagi menampung peningkatan trafik dan keperluan semasa penduduk setempat.
“Projek ini telah lama diperjuangkan kerajaan negeri sejak RMK11 lagi dan akhirnya kita mendapat lampu hijau awal daripada pihak kementerian.
"Kini, kita menantikan kelulusan akhir daripada Kementerian Ekonomi agar ia dapat dilaksanakan segera dalam RMK13, Rolling Plan 1,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, projek berimpak tinggi itu dijangka memberi manfaat besar bukan sahaja kepada penduduk Teluk Kumbar dan Balik Pulau malah seluruh kawasan selatan Pulau Pinang.
"Antara skop kerja yang bakal dilaksanakan termasuk menukar jalan sedia ada daripada jalan tunggal dua lorong (T1-1) kepada jalan berkembar empat lorong (K2-2) sepanjang 4.2 km mengikut piawaian U5.
"Selain itu, pembinaan semula jambatan Sungai Mati dan pembentung berhampiran SMK Teluk Kumbar serta naik taraf lapan persimpangan, tujuh persimpangan biasa dan satu persimpangan lampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik," ujarnya.
Tambahnya, projek ini turut disasarkan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dari Tahap Perkhidmatan (LOS) F kepada LOS A, sekali gus memastikan perjalanan yang lebih cepat dan selamat kepada pengguna.
"Selain itu, masa perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, zon perindustrian Bayan Lepas, serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah juga dijangka menjadi lebih singkat.
“Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui jaringan akses yang lebih baik,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus komited dalam memastikan projek-projek infrastruktur utama seperti ini dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Isnin lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang amat mengalu-alukan inisiatif KKR yang telah mengangkat permohonan kerja awalan projek naik taraf projek tersebut pada RP1 RMK13 untuk pertimbangan agensi pusat.
Kata Kon Yeow, kerajaan negeri berharap permohonan berkaitan bakal memperoleh perhatian Persekutuan sewajarnya berikutan keperluan mendesak sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan meruncing dialami kini.
Menurutnya, sebagai tambahan, permohonan berkaitan telah dikemukakan oleh Kerajaan Pulau Pinang sejak RMK11.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

