Maritim Pulau Pinang selamatkan enam kru Indonesia hanyut

GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menyerahkan enam kru warga Indonesia yang diselamatkan selepas hanyut di perairan negara kepada wakil Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang.
Proses penyerahan tersebut dilakukan di Limbongan Batu Maung Sdn Bhd pada jam 11 pagi, Jumaat.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, keenam-enam kru berkenaan sebelum ini ditahan dan diperiksa oleh kapal KM Burau dalam satu operasi penguatkuasaan setelah mendapati sebuah vesel nelayan asing berada dalam perairan Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan enam kru warga Indonesia berusia antara 17 hingga 52 tahun.
"Siasatan awal mendapati vesel tersebut mengalami kerosakan akibat cuaca buruk sebelum dihanyutkan arus ke perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, selaras dengan hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara, Maritim Malaysia mengambil langkah menyerahkan kru terbabit kepada KJRI Pulau Pinang.
"Komitmen agensi adalah untuk terus memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat bagi memastikan nyawa mangsa insiden laut dapat diselamatkan," katanya.
Sebelum itu, penyerahan tersebut disempurnakan oleh Mohd Hashim bersama Pegawai Memerintah KM Semilang, Leftenan Komander Maritim Mahadi Ismail kepada wakil KJRI, Leftenan Komander Tentera Nasional Indonesia, Fuad Hilmi.
Fuad dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Maritim Malaysia atas kerjasama dan tindakan profesional agensi itu dalam menguruskan insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

