Jalur Gemilang terbalik: Adakah cukup minta maaf?

TINDAKAN memasang Jalur Gemilang secara terbalik bukanlah sekadar kesilapan teknikal atau kecuaian remeh. Ia ‘kecelaruan’ dalam penghayatan makna patriotisme, lebih-lebih lagi apabila kita berada di ambang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Insiden terbaharu membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson di Negeri Sembilan pada Jumaat lalu. Ia bukanlah kes terpencil kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes bendera dipasang terbalik berulang-ulang.
Persoalannya, kenapa perkara asas sebegini masih berlaku? Lebih membimbangkan, ia berlaku di institusi pendidikan, tempat yang seharusnya menjadi perintis semangat kenegaraan.
Pihak sekolah telah memohon maaf dan menyatakan kekesalan terhadap insiden tersebut yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.
Namun, adakah cukup dengan hanya minta maaf dan menganggap isu tersebut selesai?
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjanji untuk mengambil tindakan tegas, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah memulakan siasatan.
Tindakan tersebut wajar, bukan kerana mahu menghukum secara membuta tuli tetapi kerana ia satu bentuk pendidikan disiplin.
Rakyat perlu tahu bendera ialah tentang maruah, kedaulatan dan imej negara. Ironinya, semua itu berlaku ketika negara sedang mengatur langkah menyambut 31 Ogos – hari paling bermakna buat Malaysia. Hari di mana Jalur Gemilang sepatutnya dikibarkan dengan penuh rasa bangga dan cinta.
Namun, bagaimana mahu memupuk semangat merdeka jika mengenal susun letak warna dan posisi bendera pun masih gagal? Ia bukan soal kaum, bukan soal politik dan bukan juga isu yang mahu diperbesar-besarkan. Ia simbol kedaulatan.
Jika Jalur Gemilang pun tidak dihormati, apalagi yang tinggal dalam jiwa sebuah bangsa merdeka? Sudah tiba masanya pendidikan patriotisme dijadikan asas kukuh dalam sistem pendidikan. Hormat pada bendera, cerminan hormat kepada negara.
Negara ini lahir daripada darah dan air mata pejuang. Maka, jangan biarkan Jalur Gemilang terus diperlakukan sesuka hati kerana ia bukan sekadar kain berwarna merah, putih, biru dan kuning. Ia maruah kita.
Ingat! Permohonan maaf bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab tetapi sebagai komitmen untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
