Polis siasat kes Jalur Gemilang terbalik di SJKC

Laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di SJKC Chung Hua, Port Dickson.
Laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di SJKC Chung Hua, Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik oleh sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pada 3 Ogos lalu, jam lebih kurang 10.01 pagi, polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun berkenaan isu pemasangan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 1 Ogos, jam lebih kurang 11.08 pagi di sebuah sekolah di Port Dickson semasa pemasangan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti individu yang terlibat iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

Bagaimanapun, katanya, Jalur Gemilang tersebut telah diturunkan semula pada hari kejadian.

"Namun siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya.

"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak menularkan isu tersebut kerana ia boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!