Pemuda UMNO desak ambil tindakan Jalur Gemilang terbalik

MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku di sebuah sekolah di Port Dickson baru-baru ini.
Beliau berkata, perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah turut dianggap sebagai satu penghinaan kepada simbol kedaulatan negara.
“Bagaimana kita mahu mendidik murid tentang perkara yang betul dan rasa cinta kepada tanah air, jika pihak sekolah sendiri memasang bendera pun terbalik? Ini bukan isu kecil,” tulisnya di media sosial Facebook.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut mengecam sikap segelintir pihak yang dilihat sering mengambil ringan insiden seumpama itu dan sekadar memohon maaf dikecam masyarakat.
“Sudah cukup budaya ‘buat dulu, minta maaf kemudian.'
"Dari dulu lagi kami tekankan bahawa satu hukuman berat perlu diberi kepada pelaku yang tidak menghormati bendera Malaysia," katanya.
Terdahulu tular gambar Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

