KPM akan ambil tindakan tegas isu Jalur Gemilang terbalik

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden kesilapan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan berkaitan insiden yang melibatkan sekolah terbabit.
"Isu bendera terbalik ini sudah berulang kali kita ingatkan, bukan perkara baharu. Jadi, apabila kita menerima laporan penuh nanti, kita akan ambil tindakan yang setegasnya," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu, Fadhlina merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan kepada murid Tingkatan Enam Semester Satu 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini.
Menurutnya, KPM memandang serius terhadap sebarang kesalahan berkaitan Jalur Gemilang, terutama dalam konteks sambutan Hari Kebangsaan yang semakin hampir.
Ujarnya, sudah berulang kali KPM menekankan perkara tersebut yang melibatkan soal sensitiviti, tanggungjawab dan komitmen dalam mempamerkan Jalur Gemilang, maka tidak wajar perkara sebegini masih berlaku.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan bahawa SJKC Chung Hua, Port Dickson memohon maaf kepada seluruh masyarakat atas kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah terbabit pada 1 Ogos lalu.
Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah berkenaan dalam kenyataannya turut memaklumkan rasa kesal atas kesilapan yang berlaku dan memaklumkan bahawa bendera berkenaan telah pun dibetulkan.
Dalam kenyataan tersebut, pihak sekolah menjelaskan bahawa pemasangan Jalur Gemilang di sekolah bertujuan menyahut seruan menyemarakkan Bulan Kebangsaan.
Namun disebabkan kecuaian, salah satu bendera yang digantung di hadapan papan tanda sekolah telah dipasang secara terbalik oleh seorang pekerja sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

