#QuranHour: Surah al-Saff asas penyatuan umat – Fazrul Ismail

KUALA LUMPUR – Surah al-Saff yang dipilih sebagai fokus utama dalam #QuranHour kali ini dilihat mampu menjadi asas penting dalam menyatukan umat Islam yang kini berdepan pelbagai cabaran perpecahan.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, pemilihan surah berkenaan dibuat berdasarkan situasi semasa yang berlaku di Palestin dan beberapa negara Islam lain yang memperlihatkan kelemahan umat dalam mencapai kesatuan sebenar.
“Umat Islam hari ini sering tidak tahu apakah asas sebenar kesatuan, adakah kerana kumpulan tertentu, tokoh tertentu atau perjuangan tertentu?
"Namun Surah al-Saff menjelaskan bahawa asas penyatuan sebenar adalah iman kepada ALLAH dan Rasul serta perjuangan di jalan ALLAH.
"Jika itu menjadi pegangan, walaupun berbeza dan serba kekurangan, umat Islam tidak akan berbalah atau menghina sesama sendiri kerana kita sedar bahawa kesempurnaan hanya milik ALLAH,” ujarnya ketika ditemui selepas selesai program #QuranHour di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau berkata, memahami tasbih dalam Surah al-Saff dan penghayatannya dalam solat seharusnya membentuk kesedaran bahawa ALLAH adalah Yang Tertinggi, dan atas asas itu, manusia perlu belajar menerima kelemahan orang lain.
“Cabaran utama sekarang ialah tasbih itu hanya di mulut, bukan meresap dalam jiwa. Bila ini berlaku, kita gagal menerima perbezaan antara satu sama lain. Sebab itu kita perlukan pendekatan seperti ini kembali kepada al-Quran, sebagaimana umat terdahulu disatukan juga melalui surah-surah al-Quran, termasuk Surah al-Saff,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar penganjuran #QuranHour yang digemakan bersama qari-qari antarabangsa sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) itu diteruskan pada masa akan datang.
“Walaupun hanya fokus kepada satu surah, usaha kecil ini penuh barakah. Ia permulaan yang mampu membawa kepada kejayaan besar umat Islam, Insya-ALLAH,” ujarnya.
Program satu jam itu menyaksikan bacaan surah al-Saff oleh qari jemputan termasuk Ustaz Amirahman Abas (Johan 2011), Ustaz Tirmizi Ali (Johan 2014) dan Qari Palestin, Sheikh Mo'min Hawas dan Ustaz Mohamad Husaini Mahmur (Johan 2024), selain sesi tadabbur bersama Fazrul dan Ustaz Dr Shafiq Sahimi dari UTHM.
Program berkenaan adalah sebahagian pengisian sempena Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 Tahun 2025 / 1447H diadakan di Dewan Merdeka.
Sementara itu, Mo’min meluahkan rasa terharu dan kagum melihat sambutan rakyat Malaysia terhadap program #QuranHour yang menghimpunkan qari-qari antarabangsa dalam suasana penuh penghormatan terhadap al-Quran.
“Saya sangat tersentuh dengan suasana di sini. Walaupun datang dari negara yang bergolak, saya merasakan keamanan dan kasih sayang rakyat Malaysia yang mencintai al-Quran.
"Ini memberi kekuatan kepada kami di Palestin untuk terus bertahan dan yakin bahawa umat Islam tetap bersatu atas kalam ALLAH,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

