Mufti Terengganu tekankan nilai kasih sayang, tolak kebencian melalui surah As-Saff

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diminta menghayati surah As-Saff kerana ia mengandungi seruan kepentingan kesatuan dalam kalangan umat Islam.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menyatakan semua pihak sewajarnya meletakkan nilai kasih sayang sebagai satu asas terhadap umat Islam itu sendiri selain menolak elemen kebencian antara satu sama lain.
"Dalam konteks ini saya menggesa supaya kita menghayati surah tersebut kerana kesatuan ummah itu adalah penting. Dari situlah kita kena meletakkan bahawa kasih sayang itu sebagai satu asas kepada kita khususnya umat Islam itu sendiri.
"Apabila kita mengucapkan Bismillahirrahmanirrahim (Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang) maka ia disebutkan elemen kasih sayang itu sendiri dan ia bukan semata-mata kepada umat Islam sahaja tetapi seluruh alam ini. Jadi dari situ amat penting kita hayati konsep asas kasih sayang tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas pertemuan Jelajah Kempen World #QuranHour 2025 di Pejabat Mufti di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Rumah Ngaji Negeri Terengganu, Ahmad Najib Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, umat Islam perlu memastikan tidak berlaku elemen kebencian dalam kalangan umat Islam itu sendiri serta terhadap manusia lain.
"Kita hendaklah mendoakan kebaikan semua pihak... Kita nak dapat syurga di akhirat maka jiwa kena ada jiwa syurga. Di situlah kita kena mengisi sifat mahmudah, sifat-sifat terpuji bukan sifat tercela yang asyik mencari keburukan orang lain.
"Jangan sesekali mencari keburukan saudara sendiri untuk asyik berbalah dan berkelahi antara satu sama lain. Jadi adalah penting kita menghayati surah As-Saff itu untuk supaya dapat mendatangkan kebaikan pada kita dan seluruh umat Islam itu sendiri," jelas beliau.
Dalam pada itu, Mohamad Sabri menyeru semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam program tersebut dalam usaha mendekatkan diri dengan al-Quran semasa bulan Ramadan ini.
"Selain membaca al-Quran, ia juga dapat memberi kefahaman kepada semua pihak untuk memahami mesej dalam surah As-Saff yang menekankan kesatuan dan kekuatan ummah," ujarnya.
Program World #QuranHour 2025 di Terengganu akan diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus pada 25 Mac depan.
World #QuranHour kali ini turut akan berlangsung di lokasi perdana iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Program World #QuranHour bakal menampilkan bacaan daripada qari, perkongsian tadabbur dan resolusi daripada surah As-Saff yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian dan QuranHour.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
