Surah Al-Saff pedoman kesatuan umat Islam

DALAM menghadapi pelbagai cabaran menggugat perpaduan umat Islam, surah al-Saff muncul sebagai pedoman yang menekankan pentingnya kesatuan dan tindakan yang selari dengan perkataan.
Al-Saff yang tergolong sebagai surah Madaniyah itu diturunkan setelah hijrah Rasulullah SAW dan ia menekankan kepentingan barisan yang tersusun kukuh dalam mempertahankan Islam.
Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Ustaz Muhamad Azlan Md Aris menegaskan, surah al-Saff memberi gambaran jelas tentang kepentingan kesatuan dalam kalangan umat Islam.

"Surah ke-61 dalam al-Quran itu terdiri daripada 14 ayat dan dinamakan 'Al-Saff' (barisan) merujuk kepada ayat keempat yang menggambarkan orang-orang beriman berjuang di jalan ALLAH dalam barisan yang teratur, seumpama bangunan kukuh," katanya kepada Sinar Islam Plus.
Jelasnya, konsep saf dalam surah tersebut bukan sekadar berkaitan solat berjemaah, ia juga mencerminkan umat Islam perlu bersatu dalam organisasi, dakwah dan kehidupan seharian.
“Dalam kehidupan seharian misalnya, umat Islam perlu mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan bersatu padu dan menyokong antara satu sama lain, menjaga hubungan baik sesama jiran dan masyarakat, di samping berdisiplin dalam ibadah, bekerja dan menjalankan tanggungjawab serta membantu fakir miskin atau anak yatim.
“Dalam organisasi pula, umat Islam perlu mengamalkan perpaduan dan kerjasama dengan bersatu padu, mempercayai antara satu sama lain dan mencapai matlamat bersama tanpa perpecahan atau sifat ego,” terangnya.
Seperkara lagi ujarnya, surah al-Saff turut menekankan pentingnya kesatuan dan kerjasama dalam menegakkan kebenaran serta melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH.

“Apatah lagi dalam dunia moden yang penuh dengan perpecahan, konflik dan persaingan tidak sihat, persefahaman amat diperlukan untuk menghadapi cabaran global seperti ketidakadilan, kemiskinan dan penindasan.
“Tanpa kesatuan, umat Islam akan lemah dan mudah terpengaruh dengan agenda yang merosakkan, sedangkan saf yang kukuh melambangkan kekuatan serta disiplin yang diperlukan untuk membawa perubahan positif,” katanya.
‘Besar bungkus kosong isinya’
Mengulas lanjut tentang surah al-Saff, beliau menjelaskan, ALLAH SWT turut menegur sikap segelintir orang yang bercakap, tetapi tidak mengamalkannya menerusi ayat kedua dan ketiga.
“Teguran ini sangat relevan dengan realiti hari ini terutamanya dalam konteks kepimpinan dan dakwah. Ramai pemimpin sering membuat janji mulut, tetapi gagal melaksanakannya ibarat ‘besar bungkus kosong isinya’ menyebabkan rakyat tidak percaya.
“Ayat itu mengingatkan pemimpin agar perkataan diungkapkan biarlah selari dengan tindakan untuk membina kredibiliti,” katanya.
Begitu juga halnya dengan pendakwah yang tidak mengamalkan apa yang disampaikan sehingga menjejaskan imej Islam, ungkapnya.

“Pemimpin dan pendakwah perlu menjadi contoh sebagai ikutan masyarakat sebagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Selain itu, masyarakat hari ini juga menghadapi krisis integriti. Ramai lebih mementingkan retorik daripada tindakan seperti dalam media sosial.
“Ketahuilah bahawa ayat itu mengingatkan bahawa nilai sebenar seseorang terletak pada amalan, bukan sekadar kata-kata. Ketelusan dan kejujuran adalah kunci dalam membina kepercayaan,” terangnya panjang lebar.
Satu lagi inti pati penting dalam surah ini adalah seruan berjihad di jalan ALLAH.
Menurut pendakwah itu, bentuk perjuangan pada hari ini dapat diwujudkan dengan pelbagai cara yang sesuai dengan kehidupan moden dan tetap menjunjung nilai-nilai Islam.
Antaranya seperti melalui galakan untuk menimba ilmu dan menyebarkan kebaikan melalui pelbagai medium penyampaian.

“Ia juga boleh dilakukan dengan melaksanakan usaha amar makruf nahi mungkar, memperjuang dan meningkatkan sektor ekonomi dengan bekerja secara jujur serta mengembangkan ekonomi umat manusia dengan cara dibenarkan oleh syariat tanpa mengetepikan keperluan sosial serta kemanusiaan,” ungkapnya.
Meskipun terdapat banyak surah lain yang diamalkan oleh masyarakat Islam sebagai bacaan dalam solat atau majlis-majlis tertentu, namun tegasnya, surah al-Saff tidak kurang pentingnya.
“Terdapat individu atau komuniti yang mengkaji dan mengamalkan surah ini secara khusus.
“Sebagai umat Islam, amat penting untuk kita berbuat demikian kerana al-Quran merupakan panduan lengkap untuk kehidupan manusia.
“Malah, setiap ayat mempunyai nilai estetik tersendiri untuk diambil pengajaran sebagai meningkatkan kualiti hidup sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang beriman serta menyampaikan risalah kerasulan yang bertautan antara nabi-nabi dan rasul-rasul,” ungkapnya.
ANEKDOT
Sebab penurunan surah al-Saff

- Surah itu diturunkan ketika umat Islam menghadapi cabaran dan dugaan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai umat yang beriman.
- Antara sebab penurunannya adalah untuk mengingatkan umat Islam tentang pentingnya kesungguhan dan konsistensi dalam berjuang di jalan ALLAH dan mengkritik sikap segelintir orang yang mengatakan sesuatu, tetapi tidak melaksanakannya.
- Antara inti pati surah Al-Saff adalah:
1. Pentingnya keselarasan antara kata-kata dan perbuatan (Ayat 2 dan 3).
2. Seruan untuk berjihad di jalan ALLAH SWT (Ayat 4).
3. Kisah Nabi Isa AS dan pengikutnya (Ayat 6 dan 14).
4. Janji kemenangan dan kejayaan (Ayat 9 dan 13).
5. Peringatan tentang nilai dunia dan akhirat (Ayat 10 hingga 12).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!