Alunan surah al-Saff bergema di Masjid Al-Jazari, UMPSA

Peserta bergambar selepas selesai Program World #Quran Hour di Masjid Al-Jazari UMPSA pada Selasa.
Peserta bergambar selepas selesai Program World #Quran Hour di Masjid Al-Jazari UMPSA pada Selasa.
A
A
A

PEKAN – Bacaan dan tadabbur surah al-Saff bergema di Masjid Al-Jazari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai antara lokasi penganjuran World #Quran Hour peringkat negeri Pahang pada Selasa.

Masjid dirasmikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan dinamakan sebagai Masjid Al-Jazari pada 18 Mac lalu, berjaya menghimpunkan kira-kira 200 peserta dari pelbagai organisasi untuk mengikuti program berlangsung serentak di seluruh negara.

Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, bacaan surah al-Saff dipimpin qari jemputan dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Muhammad Fahmi Akmal Badrulisham.

Menurutnya, selain bersama-sama membaca dan mendengar alunan surah tersebut, peserta terdiri daripada wakil jabatan dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar berpeluang memahami isi dan pengertian surah disampaikan pentadabbur dari Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Dr Mohd Saleh Ramli.

"Seperti mana dijelaskan, surah al-Saff perlu dihayati dan dihadam kerana ia berkaitan kehidupan kita masa kini. Pemilihan surah ini antara lain adalah kerana ia mengandungi seruan supaya umat Islam bersatu dan mencontohi semangat pembantu agama ALLAH dalam menyebarkan nilai-nilai al-Quran ke seluruh dunia," katanya ketika ditemui selepas program itu.

Program World #Quran Hour peringkat negeri Pahang di Masjid Al-Jazari UMPSA dirasmikan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr Rashidi Abbas.

Md Abdu berkata, surah ini menekankan perlunya perpaduan dalam kalangan umat Islam.

"Umat Islam perlu sentiasa berada dalam barisan, kumpulan dan kesepakatan untuk terus kuat serta bersama-sama mempertahankan agama," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan selain di Masjid Al-Jazari, World #Quran Hour di Pahang turut berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, 30 rumah ngaji yang ada di negeri ini juga mengambil bahagian di premis masing-masing," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!