Kenaikan tarif tidak wajar, air masih terjejas di Kuala Kedah

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Shakir
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Shakir
A
A
A

ALOR SETAR – Kenaikan kadar tarif air yang berkuat kuasa Ogos ini disifatkan tidak wajar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kuala Kedah berikutan mutu perkhidmatan air yang masih tidak memuaskan di kawasan Parlimen tersebut.

Ketua cabangnya, Shakir Sheikh Lukman berkata, gangguan bekalan, tekanan air rendah dan kelewatan makluman oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) masih berlaku di banyak kawasan sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, rakyat tetap berhak mendapat perkhidmatan yang berkualiti setara dengan kadar bayaran yang dikenakan.

“SADA dan kerajaan negeri Kedah perlu segera mengambil langkah penambahbaikan menyeluruh agar mutu perkhidmatan sejajar dengan bayaran yang dikenakan kepada pengguna.

“Rakyat berhak mendapat perkhidmatan air bersih dan konsisten, bukan hanya kenaikan tanpa penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa SADA akan mengenakan kadar baharu kepada semua kategori pengguna bermula bil bulan September, dengan purata peningkatan tidak melebihi RM4 sebulan bagi pengguna domestik.

Kutipan hasil akan digunakan untuk memperkasakan kecekapan operasi serta melunaskan komitmen kewangan jangka panjang, termasuk pinjaman RM1.12 bilion kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Kutipan hasil daripada pelarasan tarif juga akan digunakan untuk menambah baik sistem bekalan air, termasuk penggantian paip lama, pembinaan loji rawatan air baharu, pembaikan sistem agihan dan rumah pam bagi menangani isu tekanan air rendah serta memperluas liputan bekalan air.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!