Tarif air Selangor naik September ini

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menggunakan air antara 20 hingga 35 meter padu (m³) sebulan akan mengalami kenaikan tarif air sebanyak RM0.30, menjadikan kadar baharu RM1.62 setiap meter padu bermula 1 September ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelarasan itu adalah sebahagian daripada penyelarasan tarif air yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, selepas mengambil kira keperluan mengekalkan kualiti perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.

Menurutnya, pelarasan itu diketuai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan akan dilaksanakan oleh Air Selangor, melibatkan lebih 2.77 juta akaun pengguna, termasuk kategori domestik dan komersial.

“Selain kategori 20 hingga 35 m³, pengguna yang menggunakan air melebihi 35 m³ sebulan pula akan dikenakan tarif baharu sebanyak RM3.51 per m³, meningkat RM0.88 berbanding kadar sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada perubahan dikenakan kepada pengguna domestik yang menggunakan 20 m³ ke bawah sebulan, kerana kadar sedia ada iaitu RM0.65 per m³ dan caj minimum RM6.50 sebulan dikekalkan.

“Kategori kondominium, kuarters kerajaan dan estet pula ditetapkan pada kadar baharu RM2.09 per m³, manakala caj minimum baharu bagi kuarters ialah RM20.90 sebulan dan minimum bulanan bagi kondominium pula kekal RM173,” ujarnya.

Tambahnya, bagi rumah kos rendah, peningkatan paling minimum dikenakan iaitu hanya RM0.10, menjadikan kadar baharu RM1.18 per m³.

Jelasnya, pengguna bukan domestik seperti premis komersial turut diselaraskan kepada kadar baharu RM3.51 per m³ (bawah 35 m³) dan RM3.83 per m³ (lebih 35 m³), peningkatan sebanyak RM0.57.

“Rumah ibadat dan institusi kebajikan yang berdaftar pula menikmati kadar paling rendah iaitu RM0.76 per m³, dengan hanya peningkatan RM0.10, bagi memastikan operasi mereka tidak terjejas,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan bahawa industri perkapalan akan dikenakan kadar baharu sebanyak RM8.01 per m³, manakala kategori baharu yang diperkenalkan iaitu pusat data dikenakan RM5.31 per m³.

“Pusat data menggunakan berjuta liter sehari untuk sistem penyejukan, jadi amat wajar SPAN memperkenalkan kategori khas bagi mengimbangi penggunaan dan keperluan,” katanya.

Menurutnya, pelarasan ini penting bagi memastikan kemampanan bekalan air dalam jangka panjang.

Ujarnya, antara pencapaian yang dicatat Air Selangor sejak pelarasan terakhir adalah rizab margin air yang meningkat daripada 13.86 peratus pada Februari tahun lalu kepada 16.74 peratus pada Jun tahun ini.

“Kadar air tidak berhasil (NRW) juga menurun daripada 27.7 peratus kepada 27.3 peratus,” tambahnya.

Katanya lagi, pelarasan ini juga membolehkan Air Selangor menggantikan paip asbestos berusia lebih 40 tahun sejauh 1,600 kilometer menjelang 2030, dengan kadar penggantian 300 kilometer setahun bermula tahun ini.

Dalam masa sama, Air Selangor sedang membina dua Loji Rawatan Air baharu di Rasau dan Labohan Dagang 2, yang bakal menambah kapasiti bekalan air terawat sebanyak 2,730 juta liter sehari, dengan kos melebihi RM8 bilion.

“Bagi meringankan beban rakyat, kerajaan negeri akan terus menyalurkan air percuma bernilai RM13 sebulan kepada lebih 1.3 juta rakyat Selangor menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang merangkumi 337,851 akaun,” jelasnya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa had kelayakan pendapatan isi rumah untuk SADE akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

“Kerajaan juga akan menampung peningkatan caj bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan dengan anggaran kos RM100,000 setahun, dan peruntukan keseluruhan mencecah RM52.7 juta bagi memastikan kenaikan tarif tidak membebankan rakyat yang memerlukan,” katanya.

Ujarnya, permohonan SADE boleh dibuat mulai 8 Ogos 2025 melalui laman sesawang rasmi Air Selangor di https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!