Insiden sengatan ubur-ubur: Penganjur dinasihat rujuk pihak berkuasa

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Sivanesan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Sivanesan
A
A
A

IPOH – Penganjur aktiviti renang di perairan laut di negeri ini dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan insiden disengat ubur-ubur berulang.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, tindakan itu penting bagi mengenal pasti sama ada kawasan perairan tersebut mempunyai habitat ubur-ubur.

Menurutnya, pihak penganjur perlu merujuk kepada Jabatan Laut yang lebih arif tentang keadaan perairan sebelum sebarang penganjuran aktiviti melibatkan laut dibuat.

“Contohnya di Lumut, memang diketahui ada kehadiran ubur-ubur, jadi sepatutnya perkara itu diambil kira. Kita tidak pasti sama ada penganjur tahu atau tidak, tetapi seeloknya dapatkan pandangan terlebih dahulu.

“Program itu juga difahamkan bukan dianjurkan kerajaan negeri, sebaliknya pihak swasta dari luar,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Tahunan ke-17 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Perak, Piala YB Sivanesan, di Padang Ipoh, di sini pada Ahad.

Sivanesan berkata, insiden yang berlaku baru-baru ini melibatkan aktiviti renang di kawasan laut tidak menyebabkan kecederaan serius dan kebanyakan peserta dilaporkan selamat.

Namun katanya, tindakan segera telah diambil oleh pihak hospital dan tiga klinik berdekatan bagi memberikan rawatan awal kepada peserta yang terkesan.

Sementara itu, Sivanesan memaklumkan tiada peserta yang dimasukkan ke wad.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tiga peserta yang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Seri Manjung pada Sabtu telah dibenarkan pulang.

Pada Sabtu, media melaporkan seramai 30 peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 mengalami kecederaan akibat terkena sengatan ubur-ubur dalam kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Majoriti mangsa dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia lingkungan 11 hingga 15 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!