40 peserta renang disengat ubur-ubur: Semua mangsa alami kecederaan ringan - Exco

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Sivanesan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Sivanesan
A
A
A

IPOH - Semua peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 yang terkena sengatan obor-obor berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, setakat ini, 30 peserta majoritinya kanak-kanak berusia lingkungan 11 hingga 15 tahun disahkan terkesan dengan kejadian itu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut hanya tiga mangsa dirujuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kesemua mereka telah dibenarkan keluar hospital pada hari sama selepas disahkan stabil. Kebanyakan mangsa mengalami kesan sengatan ringan seperti kemerahan.

"Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan. Keadaan semua terkawal,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.

Sivanesan berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara jam 9 pagi hingga 11 pagi ketika acara renang terbuka itu berlangsung melibatkan seramai 225 peserta.

Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Seri Manjung dan Klinik Kesihatan Pantai Remis segera digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kejadian.

"Turut membantu ialah pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah bersedia di lokasi sejak awal program.

"Dua pasukan terdiri daripada enam petugas jabatan kecemasan hospital dan lima dari klinik kesihatan telah memberikan rawatan awal dan memantau keadaan kesemua mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!