Tangani taktik licik warga asing niaga guna nama rakyat tempatan

Suee Lim (berdiri tengah) bergambar semasa Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang, Sekinchan di sini pada Sabtu.
Suee Lim (berdiri tengah) bergambar semasa Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang, Sekinchan di sini pada Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor menyarankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan pindaan terhadap akta sedia ada bagi menangani taktik licik warga asing berniaga menggunakan nama rakyat tempatan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan warga asing memohon lesen perniagaan, masih terdapat premis dikendalikan oleh pihak tidak layak melalui ‘jalan belakang’.

"Mereka kahwin dengan warga tempatan, guna nama isteri atau rakan rakyat negara ini untuk daftar lesen, namun apabila kita periksa dokumen, semuanya nampak sah sedangkan premis dikendalikan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang, Sekinchan di sini pada Sabtu.

Beliau menegaskan, pindaan akta itu penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan tempatan tidak terjejas dan rakyat terus diberi keutamaan dalam sektor ekonomi.

Sehubungan itu, Suee Lim berkata, KPKT diharap dapat meminda akta berkaitan supaya PBT mempunyai kuasa lebih luas bagi mengambil tindakan terhadap pemilik sebenar premis yang sembunyi disebalik nama warga tempatan.

Menurut Suee Lim, kerajaan negeri turut bertegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan warga asing terlibat dalam sebarang bentuk perniagaan.

"Kalau ada yang buka kedai secara tidak sah, PBT akan ambil tindakan kerana banyak operasi dan tangkapan telah dilakukan," tambah beliau.

Sinar Harian 28 Julai lalu melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen termasuk lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit dan kedai makan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan tersebut selaras dengan dasar dan peraturan sedia ada iaitu Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja serta UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!