'Warga asing tidak bawa dokumen, majikan beri alasan takut pekerja lari'

Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi di sekitar bandar Kajang pada Isnin.
Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi di sekitar bandar Kajang pada Isnin.
A
A
A

KAJANG – Sebuah pusat beli-belah di sekitar bandar Kajang dan kawasan sekitarnya lengang selepas ratusan warga asing ditahan pihak berkuasa di sini pada Isnin.

Operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya bermula jam 12 tengah hari.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen, Basri Othman berkata, seramai 86 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil pemeriksaan ke atas 534 warga asing.

Basri turut menyertai operasi penguatkuasaan di bandar Kajang pada Isnin.
Basri turut menyertai operasi penguatkuasaan di bandar Kajang pada Isnin.

Menurutnya, ramai warga asing memberi pelbagai alasan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sepatutnya dibawa bersama.

“Sepatutnya bawa dokumen yang asli untuk memudahkan kita membuat pemeriksaan kerana salinan menyukarkan semakan di lapangan. Jadi, kita terpaksa bawa balik (tahan).

“Ramai yang beri alasan takut pekerja lari, tetapi pasport adalah hak individu. Jadi, majikan dinasihatkan membenarkan pekerja sekurang-kurangnya membawa i-Kad yang dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana,” katanya kepada pemberita di lokasi, di sini pada Isnin.

Pada hari yang sama, menerusi operasi berasingan di Sungai Tangkas, Bangi, turut menyaksikan seramai 45 warga asing disyaki PATI ditahan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Basri, keseluruhannya 131 PATI ditahan dalam dua operasi terbabit, antaranya melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, India, Myanmar, Nepal dan Pakistan.

Jelasnya, PATI terbabit kebanyakannya bekerja di kedai makan, restoran, kedai serbaneka dan kedai telefon di sekitar kawasan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen Malaysia 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!