AKPS kesan taktik warga asing menyamar sebagai penumpang baharu

SEPANG - Taktik warga India menyamar sebagai penumpang baru tiba dengan menukar pakaian di kawasan transit dan cuba menyusup dalam barisan pemeriksaan imigresen terbongkar selepas dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 2 di sini pada Selasa.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, Unit Pemantau AKPS berjaya mengesan taktik baharu warga asing dalam cubaan bolos pemeriksaan imigresen di KLIA.
"Daripada 270 warga asing yang diperiksa, 13 individu telah ditahan dan ditolak kemasukan ke negara ini melibatkan lapan lelaki dan seorang wanita warga India, serta empat lelaki warga Pakistan.
"Beberapa warga India yang diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di Pejabat Operasi Imigresen dikesan cuba menyamar sebagai penumpang yang baru tiba," katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka dipercayai menukar pakaian di kawasan transit bagi mengelak dikenali dan cuba menyusup semula ke dalam barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru mendarat.
"Bagaimanapun, hasil pemantauan rapi serta tindakan pantas pasukan keselamatan AKPS, kesemua suspek berjaya dikesan dan ditahan sebelum sempat melepasi kawalan kaunter masuk imigresen.
"Sebagai langkah pencegahan susulan, AKPS KLIA akan memperkukuh kawalan di kawasan transit melalui peningkatan kekerapan rondaan, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), dan pelaksanaan prosedur pengesanan yang lebih ketat bagi mengelak taktik penyamaran berulang," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, AKPS KLIA turut menyeru komuniti KLIA, termasuk kakitangan operasi dan pengendali penerbangan, agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang tingkah laku atau pergerakan mencurigakan oleh penumpang warga asing.
“Sokongan bersama amat penting dalam memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara terus terpelihara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
