Slovenia larang urus niaga senjata dengan Israel

LJUBLJANA – Slovenia pada Khamis mengumumkan larangan penuh terhadap semua urus niaga senjata dengan Israel susulan konflik berdarah yang berterusan di Gaza, sekali gus menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama mengambil tindakan tegas sedemikian.
“Slovenia adalah negara Eropah pertama yang melarang import, eksport dan transit senjata ke dan dari Israel,” kata kerajaan dalam satu kenyataan rasmi.
Langkah itu diambil secara bebas tanpa menunggu keputusan EU, yang menurut Slovenia masih gagal melaksanakan tindakan konkrit akibat perpecahan dalaman dalam kalangan anggotanya.
Menurut kenyataan itu lagi, "Di tengah peperangan dahsyat di Gaza, di mana rakyat awam terus mati akibat sekatan sistematik terhadap bantuan kemanusiaan, adalah menjadi tanggungjawab setiap negara yang bertanggungjawab untuk bertindak – walaupun perlu mendahului negara lain."
Sejak Oktober 2023, kerajaan Slovenia tidak lagi mengeluarkan sebarang permit eksport senjata atau peralatan ketenteraan ke Israel.
Pada Julai lalu, Slovenia turut menjadi negara EU pertama yang mengharamkan kemasukan dua menteri sayap kanan ekstremis Israel ke negaranya, dengan menuduh mereka menghasut keganasan melampau dan melanggar hak asasi rakyat Palestin menerusi kenyataan bersifat genosid.
Terdahulu, pada Jun 2024, Parlimen Slovenia meluluskan usul rasmi mengiktiraf Negara Palestin, sejajar dengan tindakan Ireland, Norway dan Sepanyol, sebagai bantahan terhadap serangan udara Israel yang berterusan ke atas Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.-AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

