Hamas sedia terima gencatan senjata lima tahun, bebas semua tebusan sekali gus

Rakyat Palestin memeriksa kerosakan selepas serangan Israel ke atas bangunan sekolah Yafa, sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di Bandar Gaza. Foto AFP
Rakyat Palestin memeriksa kerosakan selepas serangan Israel ke atas bangunan sekolah Yafa, sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di Bandar Gaza. Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Hamas bersedia mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Gaza yang melibatkan pembebasan semua tebusan serta jaminan gencatan senjata selama lima tahun, kata seorang pegawai kumpulan itu pada Sabtu ketika rundingan dengan perantara diteruskan.

Delegasi Hamas kini berada di sini bagi berbincang dengan perantara Mesir berhubung penyelesaian kepada perang yang telah berlarutan selama 18 bulan.

Sementara itu, di lapangan, pasukan penyelamat melaporkan serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang.

Hampir lapan minggu selepas sekatan bantuan oleh Israel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bekalan makanan dan perubatan di Gaza semakin kehabisan.

Menurut pegawai Hamas yang enggan dikenali, kumpulan pejuang Palestin itu "bersedia untuk pertukaran tahanan secara satu kali serta gencatan senjata selama lima tahun."

Usaha terbaharu ini hadir selepas Hamas sebelum ini menolak cadangan Israel awal bulan ini yang disifatkan sebagai "separa", dengan menuntut perjanjian "menyeluruh" bagi menghentikan perang yang tercetus akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Cadangan Israel yang ditolak itu, menurut seorang pegawai kanan Hamas, menawarkan gencatan senjata selama 45 hari sebagai pertukaran untuk pembebasan 10 tebusan hidup.

Hamas tetap menuntut bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata mesti membawa kepada penamatan perang sepenuhnya, pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan peningkatan mendadak dalam bantuan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Pengunduran Israel dan "pengakhiran kekal perang" turut terkandung dalam fasa kedua perjanjian gencatan senjata yang dimulakan pada 19 Januari lalu tetapi gagal selepas dua bulan, menurut pelan yang pernah dibentangkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Hamas cuba meneruskan perbincangan mengenai fasa kedua, namun Israel mahu fasa pertama dilanjutkan.

Israel menuntut semua tebusan yang diculik dalam serangan 2023 dikembalikan dan mendesak supaya Hamas dilucutkan senjata, tuntutan yang ditolak Hamas sebagai "garisan merah."

"Kali ini, kami akan menegaskan jaminan berhubung pengakhiran perang," kata pegawai kanan Hamas, Mahmud Mardawi.

"Israel boleh kembali berperang selepas sebarang perjanjian separa, tetapi ia tidak boleh berbuat demikian dengan perjanjian menyeluruh yang disertakan jaminan antarabangsa," tambahnya.

Pada Sabtu, seorang lagi pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan mengulangi bahawa "sebarang cadangan yang tidak termasuk penghentian perang secara menyeluruh dan kekal tidak akan dipertimbangkan."

"Kami tidak akan menyerahkan senjata selagi penjajahan masih wujud," katanya dalam satu kenyataan. Serangan terbaharu di Gaza

Israel sekali lagi membedil Gaza pada Sabtu.

Mohammed Al-Mughayyir, pegawai agensi penyelamat pertahanan awam Gaza, memberitahu AFP, angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 35 orang.

Di Bandar Gaza, serangan ke atas rumah keluarga Khour menyebabkan 10 orang maut dan kira-kira 20 lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Umm Walid Al-Khour, seorang mangsa terselamat, berkata "semua orang sedang tidur bersama anak-anak mereka" ketika serangan berlaku dan "rumah runtuh menimpa kami."

Di kawasan lain di Gaza, 25 lagi kematian dilaporkan.

Tiada sebarang kenyataan segera dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung serangan terbaru itu, namun mereka memaklumkan bahawa "1,800 sasaran pengganas" telah diserang di seluruh Gaza sejak kempen ketenteraan disambung semula pada 18 Mac, dengan ratusan pejuang turut terbunuh.

Gencatan senjata yang dimulakan pada 19 Januari lalu, hasil usaha Qatar, Amerika dan Mesir membolehkan peningkatan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tebusan dan tahanan Palestin di penjara Israel.

Namun, dengan pertikaian berterusan mengenai fasa seterusnya, Israel menghentikan semua bantuan ke Gaza sebelum menyambung semula serangan udara dan operasi darat.

Sejak itu, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikuasai Hamas, sekurang-kurangnya 2,111 rakyat Palestin terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan korban perang di Gaza kepada 51,495 orang, kebanyakannya orang awam.

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 menyebabkan 1,218 kematian di pihak Israel, juga majoritinya orang awam, berdasarkan kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Dalam serangan itu, 251 orang diculik, dengan 58 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang disahkan maut oleh tentera Israel.

Israel menyatakan kempen ketenteraannya bertujuan untuk memaksa Hamas membebaskan baki tebusan yang masih hidup.

Krisis makanan semakin parah

Pada Jumaat, Program Makanan Sedunia (WFP) PBB mengumumkan, dapur panas yang mereka bekalkan makanan di Gaza "dijangka kehabisan makanan sepenuhnya dalam beberapa hari akan datang."

Pada Sabtu, rakaman AFP menunjukkan orang ramai berbaris panjang menunggu makanan di hadapan dapur komuniti.

"Tiada makanan di dapur percuma, tiada makanan di pasar... tiada tepung atau roti," kata penduduk Gaza utara, Wael Odeh.

Seorang pegawai kanan PBB, Jonathan Whittall berkata, rakyat Gaza kini "secara perlahan-lahan meninggal dunia."

"Ini bukan sekadar tentang keperluan kemanusiaan, tetapi juga soal maruah," katanya kepada wartawan. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!