Pengebumian besar-besaran di selatan Gaza selepas Israel serah jenazah tidak dikenali

Jenazah rakyat Palestin yang tidak dikenali, dipulangkan oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dikebumikan di Deir al-Balah, Semenanjung Gaza. - Foto AP
Jenazah rakyat Palestin yang tidak dikenali, dipulangkan oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dikebumikan di Deir al-Balah, Semenanjung Gaza. - Foto AP
A
A
A

GAZA -  Lebih 50 jenazah rakyat Palestin yang tidak dikenali telah dikebumikan dalam satu pengebumian besar-besaran di Khan Younis, selatan Gaza selepas dipulangkan Israel kepada pihak Palestin.

Perkembangan itu berlaku dalam suasana peperangan berterusan dan kemusnahan meluas di seluruh Gaza.

Menurut laporan, kesemua jenazah tersebut adalah mangsa Palestin yang terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel sebelum ini.

Mereka diserahkan kembali dalam keadaan tidak dikenali, sebahagian besar tanpa maklumat identiti, nombor, atau rekod perubatan yang membolehkan keluarga mereka membuat pengecaman.

Situasi tersebut menambah kesedihan ramai keluarga yang masih kehilangan ahli keluarga dan tidak tahu nasib mereka.

Pihak berkuasa tempatan di Khan Younis menggali kubur besar di mana jenazah-jenazah itu dikebumikan secara kolektif.

Proses itu dilakukan dalam keadaan kesuntukan masa, keselamatan dan kekangan sumber perubatan di kawasan yang musnah akibat serangan.

Pemulangan jenazah secara besar-besaran oleh Israel bukan perkara baharu dalam konflik berkenaan. 

Gaza ketika ini berdepan krisis kemanusiaan kritikal, termasuk kekurangan tenaga perubatan, kemusnahan hospital, dan kesukaran pasukan penyelamat mencapai lokasi mangsa.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dan tidak dapat ditemui.

Data Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan jumlah korban perang telah mencecah 72,045 orang, manakala 171,686 lagi cedera sejak Oktober 2023.

Pengebumian itu dilakukan dalam keadaan risiko yang sentiasa wujud.

Pada hari sama, wilayah Palestin masih menyaksikan keganasan di Tebing Barat, di mana 54 rakyat Palestin cedera dalam serangan peneroka Israel yang bertindak di bawah perlindungan tentera Israel.

Di Gaza sendiri, serangan udara dan darat berterusan di banyak kawasan termasuk Khan Younis, yang sebelum ini menjadi lokasi pencerobohan tentera dan kemusnahan besar, termasuk di kompleks perubatan utama seperti Hospital Nasser.

Pengebumian besar-besaran ini menggambarkan hakikat pahit bahawa banyak keluarga di Gaza tidak lagi mampu memberikan pengebumian mengikut adat kepada ahli keluarga mereka, bukan sahaja kerana ketiadaan identiti, tetapi juga kerana infrastruktur yang musnah dan kekurangan tempat selamat untuk melangsungkan upacara.

Bagi penduduk Gaza, kehilangan tanpa identiti adalah antara trauma paling besar, jenazah mayat yang tidak boleh dikenalpasti bermakna keluarga tidak dapat menutup episod kehilangannya, manakala kerajaan tempatan pula berdepan kekangan untuk mengurus rekod kematian secara teratur.

Pengebumian ini hanya satu daripada banyak episod yang berlaku hampir setiap minggu sejak perang bermula.

Laporan antarabangsa menyatakan bahawa masih ramai mangsa dipercayai belum ditemui, manakala hospital yang masih berfungsi menghadapi tekanan melampau untuk menyimpan dan mengenal pasti jenazah yang tiba setiap hari.

Israel pula menyatakan sebahagian jenazah yang dipulangkan adalah mangsa yang berada di kawasan operasi dan sukar dikenal pasti dalam tempoh peperangan. - Awani 

Ringkasan AI

  • Lebih 50 jenazah rakyat Palestin yang tidak dikenali telah dikebumikan dalam satu pengebumian besar-besaran di Khan Younis
  • Jenazah-jenazah itu adalah mangsa Palestin yang terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel
  • Kesedihan keluarga meningkat kerana tidak dapat mengenal pasti jenazah ahli keluarga mereka
  • Situasi kemanusiaan di Gaza semakin kritikal dengan kekurangan tenaga perubatan dan kemusnahan infrastruktur
  • Pemulangan jenazah secara besar-besaran menunjukkan kesukaran dan trauma yang dihadapi penduduk Gaza dalam menguruskan pengebumian mengikut adat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!