15.6 peratus orang dewasa hidap diabetes, ramai tak sedar

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan satu daripada setiap enam orang menghidap diabetes. Gambar hiasan
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan satu daripada setiap enam orang menghidap diabetes. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 15.6 peratus golongan dewasa di Malaysia, atau satu daripada setiap enam orang, menghidap diabetes dan amat membimbangkan apabila dua daripada lima daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit itu.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noraryana Hassan berkata, dapatan tersebut dilaporkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, yang turut menunjukkan trend membimbangkan, iaitu 84 peratus golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun tidak menyedari mereka menghidap diabetes.

Beliau menekankan keperluan mendesak untuk memulakan saringan diabetes pada peringkat usia muda bagi mencegah komplikasi dan mengurangkan risiko kematian pramatang dalam kalangan individu muda.

“Memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia didiagnosis dengan diabetes dan komplikasinya, kita mesti terus mencegah permulaan penyakit ini, dan pada masa sama, melengahkan atau melewatkan komplikasi penyakit itu,” katanya dalam Persidangan Diabetes Malaysia 2025, di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Nik Khairol Reza Md Yazin.

Dr Noraryana berkata, rakyat Malaysia yang menghidap diabetes berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti penyakit jantung iskemik, strok, retinopati, penyakit buah pinggang, kaki diabetes dan kerosakan saraf.

“Komplikasi ini mengurangkan kualiti kehidupan apabila berlaku kerosakan organ seperti buta, amputasi, kegagalan jantung, strok dengan kebergantungan penuh, mati pucuk dan kerosakan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang,” katanya.

Berhubung persidangan anjuran Diabetes Malaysia itu, beliau percaya ia akan memberi ilmu baharu dan memperkasakan pihak berkepentingan berkaitan, terutamanya di peringkat penjagaan primer.

Beliau memaklumkan bahawa penjagaan primer memainkan peranan penting dalam saringan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, namun beban kerja mereka kini semakin tertumpu kepada merawat diabetes dan komplikasi berkaitannya.

Artikel Berkaitan:

“Paling penting dalam penjagaan diabetes juga ialah pemerkasaan pesakit itu sendiri. Penjagaan kendiri seperti amalan pemakanan, senaman, penjagaan kaki, pemantauan kendiri paras gula dalam darah, pemahaman dan pematuhan ubat perlu sentiasa terus diberi penekanan,” katanya.

Dengan tema Personalised and Sustainable Diabetes Care: Building a Healthier Tomorrow, persidangan yang bermula hari ini hingga Ahad itu bertujuan mengukuhkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama merentas disiplin dalam memerangi diabetes. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!