Kanak-kanak 6 tahun mengadu sakit kaki rupanya hidap kanser tulang

PADANG TERAP – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Kampung Pengkalan Tok Putih, Jalan Tualak di sini tidak lagi seaktif dahulu selepas disahkan menghidap kanser tulang pada Mei lalu.
Nur Fitriah Aliya Annisa Abdullah, yang bercita-cita menjadi seorang doktor, baru sahaja keluar dari Wad Hospital Pulau Pinang pada Ahad lalu selepas lebih sebulan menjalani rawatan kimoterapi.
Neneknya, Azlina Ahmad, 61, berkata, cucunya dibawa ke Hospital Kuala Nerang selepas mengadu sakit pada kaki kiri dan berjalan terhincut-hincut pada Mac lalu.
Menurutnya, selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan terdapat sedikit keretakan pada bahagian kaki dan ia perlu disimen selama seminggu.
Bagaimanapun katanya, pada Mei, Nur Fitriah Aliya Annisa sekali lagi dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang kerana lututnya bengkak sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut.

"Di HSB, doktor ambil sampel tulang dan isi bahagian lutut termasuk mengadakan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Imbasan Pengimejan Reasonans Magnetik (MRI).
"Doktor pakar HSB kemudiannya merujuk kes Annisa ke Hospital Pulau Pinang dan pemeriksaan akhir ujian kemudian mengesahkan dia menghidap kanser tulang.
"Selepas perbincangan lanjut dilakukan, Annisa perlu meneruskan rawatan dan dimasukkan ke wad bermula 9 Jun lalu bagi rawatan kimoterapi,” katanya semasa ditemui di rumah mereka di sini pada Rabu.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang hadir menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur untuk kegunaan keluarga tersebut.
Azlina berkata, dia dan suaminya, Razali Saad, 67, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM850 sebulan.
Menurutnya, sejak cucunya dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang, dia tidak dapat turun menoreh membantu suaminya kerana perlu menjaga Nur Fitriah Aliya Annisa di wad sepanjang menerima rawatan.
“Annisa dijadualkan meneruskan rawatan kimoterapi pada 10 Ogos ini. Selepas beberapa pusingan kimoterapi, doktor memaklumkan pembedahan akan dilakukan untuk menggantikan tulang kaki dengan besi titanium,” ujarnya.
Jelasnya, kos pembedahan tersebut dianggarkan sebanyak RM50,000 dan perkara itu telah dibincangkan bersama pihak hospital.
Azlina memberitahu, cucunya yang merupakan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Tualak, sebelum ini seorang yang aktif dan ceria, namun mula menjadi pendiam selepas menjalani rawatan kimoterapi yang panjang.
“Kami akan berusaha mengikuti setiap prosedur rawatan yang ditetapkan oleh doktor walaupun memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya.
Bagi mereka yang mahu membantu Nur Fitriah Aliya Annisa boleh menyalurkan bantuan melalui akuan Bank Rakyat 221261060131 atas nama Azlina Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

