Malaysia nombor satu dalam Pelancongan Mesra Muslim

Malaysia disenaraikan di tempat pertama dalam kategori Pelancongan Mesra Muslim menerusi Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025 oleh DinarStandard.
Malaysia disenaraikan di tempat pertama dalam kategori Pelancongan Mesra Muslim menerusi Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025 oleh DinarStandard.
A
A
A

MALAYSIA disenaraikan di tempat pertama dalam kategori Pelancongan Mesra Muslim menerusi Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025 oleh DinarStandard.

Pengiktirafan mencerminkan pelaburan jangka panjang negara, tadbir urus mantap dan komitmen institusi dalam membina ekosistem pelancongan mesra Muslim yang dipercayai.

Pengarah Penyelidikan dan Latihan Islamic Tourism Centre (ITC), Nur Alyssa Coraline Yussin berkata, pengiktirafan tersebut turut meningkatkan keyakinan pemain industri, mendorong inovasi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran pelancongan mesra Muslim global.

“Ranking ini hanyalah permulaan. Apa yang lebih penting, ia merupakan penjenamaan Malaysia sebagai negara terbuka, inklusif dan mesra dari segi sosial, ekonomi dan politik.

“Kita tidak harus memandang rendah kuasa pengiktirafan ini terhadap negara. Ia membuka begitu banyak peluang, pelaburan dan kerjasama merentas pelbagai sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Nur Alyssa, sepertimana Menara Berkembar Petronas menjadi simbol kebanggaan Malaysia pada 1998, hari ini, kepimpinan negara dalam sektor Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) menjadi mercu tanda baharu identiti global Malaysia sekali gus mencerminkan nilai keterangkuman, kecemerlangan dan kebanggaan budaya.

Laporan SGIE yang diterbitkan oleh DinarStandard setiap tahun menilai prestasi negara-negara dalam sektor utama ekonomi Islam seperti makanan halal, kewangan Islam, pelancongan mesra Muslim, fesyen patuh syariah dan banyak lagi.

Bagi edisi 2024/2025, Malaysia menduduki tangga pertama keseluruhan buat tahun ke-11 berturut-turut.

Selain pelancongan mesra Muslim, negara turut cemerlang dalam sektor termasuk kewangan Islam, makanan halal dan farmaseutikal halal.

Artikel Berkaitan:

Penarafan ini turut mengambil kira prestasi kewangan, tadbir urus, kesedaran, impak sosial dan inovasi dalam ekonomi Islam, dengan penekanan yang semakin meningkat terhadap pembangunan dasar, piawaian pensijilan dan pelaburan dalam sektor gaya hidup halal.

Dalam pada itu, kejayaan berterusan dalam pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim melalui usaha ITC mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan pemegang taruh industri.

Dasar yang jelas, rangka kerja kawal selia yang kukuh serta komitmen padu daripada sektor pelancongan dan hospitaliti telah meletakkan Malaysia di hadapan sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim dari seluruh dunia.

Antara perkembangan penting yang menyumbang kepada pencapaian ini termasuk memorandum persefahaman dimeterai antara ITC dan Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) yang membolehkan lebih ramai pemain kecil dan sederhana menceburi sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim sekali gus meluaskan capaian mereka ke pasaran pelancong Muslim.

Sementara itu, program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) dan Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) yang diperkenalkan ITC juga terus menyokong kecemerlangan perkhidmatan dan meningkatkan keterlihatan bagi penyedia yang diperakui.

Pada masa sama, ITC turut memainkan peranan penting dalam melibatkan pemain pelancongan tempatan untuk meneroka pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang.

Salah satu contoh kejayaan adalah kerjasama antara ITC dan Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) yang berjaya membawa masuk 58,000 pelancong Muslim dari China pada Februari dan Mac 2024, dengan hasil pelancongan berjumlah RM92.8 juta.

Melangkah ke hadapan, pelaburan berterusan Malaysia dalam rangka kerja, infrastruktur dan pembangunan kapasiti mesra Muslim adalah kunci untuk memenuhi pertumbuhan yang diunjurkan dalam pelancongan Muslim ke luar negara, bernilai USD 2.43 trilion (RM11.42 trilion) pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada USD 3.36 trilion (RM15.79 trilion) menjelang tahun 2028.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!