Kes Zara Qairina: Tiada sebarang bukti penglibatan ahli keluarga VIP - Polis

Polis mengesahkan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan dalam kes kematian Zara Qairina. Foto kecil: Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka
Polis mengesahkan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan dalam kes kematian Zara Qairina. Foto kecil: Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis mengesahkan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kebelakangan ini pelbagai dakwaan tular di media sosial yang cuba mengaitkan kematian pelajar Tingkatan Satu itu dengan anak menteri dan individu berprofil tinggi termasuk keluarga pihak istana di negeri ini.

"Siasatan polis setakat ini tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak kenamaan dalam kes berkenaan.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tiada kompromi atau perlindungan akan diberikan kepada mana-mana indibidu yang disyaki terlibat tanpa mengira latar belakang mereka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terus menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan proses keadilan.

"Pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil demi memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarganya," tegasnya.

Sebelum ini, nama beberapa tokoh kenamaan termasuk menteri persekutuan, pemimpin negeri serta pihak istana telah dikaitkan oleh segelintir pihak di media sosial dengan insiden kematian Zara Qairina, 13, yang dilaporkan terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 17 Julai lalu.

Spekulasi terus memuncak susulan tiadanya perkembangan rasmi yang dikongsikan kepada umum walaupun kejadian sudah berlalu sejak dua minggu lalu.

Keadaan itu mendorong pelbagai pihak tampil membuat penafian termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Istana Seri Kinabalu serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang turut menjadi sasaran tuduhan di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian meluas dalam kalangan masyarakat apabila kes tersebut dikaitkan dengan dakwaan buli sehingga mencetuskan tanda pagar #JusticeForZara sebagai solidariti di media sosial supaya kes tersebut disiasat dengan telus dan adil.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!