Bapa tunggal mengaku tidak bersalah samun dua wanita

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan bagi dua kes samun pada Jumaat lalu.
Tertuduh yang juga bapa tunggal, Abdur Razzaq Suphiah Abdullah, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok, lelaki mualaf itu didakwa merompak harta milik seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, Kulai, sekitar jam 8.45 pagi, 4 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pula, tertuduh didakwa merompak harta milik seorang wanita tempatan berusia 37 tahun di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai, sekitar jam 8.45 pagi pada hari yang sama dengan kes pertama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan, tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan jumlah yang tinggi iaitu RM20,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, juga mencadangkan jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah merasakan wajar untuk tertuduh diikat jamin.
Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan dia yang sudah bercerai dengan isteri menanggung anak tunggal berusia 12 tahun.
“Saya hanya bekerja sendiri membaiki motosikal di rumah dengan gaji tidak menentu, kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya.
Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM10,000 serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan dua jam selepas melakukan dua tindakan samun bersenjata menggunakan parang di Kluang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian pertama membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun yang disamun dan ditetak di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra.
Polis turut menerima satu lagi laporan pada hari sama membabitkan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang menjadi mangsa samun bersenjata di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

