RMK13: Bukti kesungguhan kerajaan hadapi cabaran ekonomi

SHAH ALAM - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk merangka strategi bagi menghadapi cabaran ekonomi semakin mencabar dan tidak menentu ketika ini.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kesungguhan itu dapat dilihat melalui perancangan bersifat jangka pendek dan sederhana yang dibentangkan.
“Strategi yang dirangka penting dalam memastikan dasar jangka masa panjang negara sebelum ini mampu tercapai menerusi RMK13 ini, seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) purata 4.5-5.5 peratus setahun dalam RMK13 ini juga menunjukkan kepercayaan dan keyakinan kerajaan terhadap kekuatan ekonomi domestik negara yang diharap mampu memacu pertumbuhan bagi mencapai cabaran global.
“Apa yang lebih menarik ialah keberanian kerajaan untuk cuba membawa negara melangkah jauh ke hadapan agar seiring kemajuan dengan negara maju apabila sektor berkaitan teknologi dan pendigitalan akan terus diperkasa dan diberi perhatian khususnya berkaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Faisol, selain memastikan Malaysia mampu mencapai sasaran negara maju dalam tempoh terdekat, kerajaan juga mengambil langkah proaktif dengan memberikan sokongan serta galakan ke arah penciptaan produk buatan Malaysia yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai turut berpandangan pelan pembangunan lima tahun untuk tempoh 2026-2030 itu lengkap dan menyeluruh.
Beliau berkata, ia dapat dilihat apabila semua sektor dan rakyat pelbagai peringkat menerima manfaat daripada RMK13 itu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan masih perlu memperincikan bagaimana pelan pembangunan itu akan dilaksanakan.
“Perincian ini penting untuk memastikan dalam tempoh lima tahun akan datang ini dapat mewujudkan satu ekonomi baharu yang lebih seimbang antaranya dalam mengatasi isu jurang pendapatan dan kekayaan yang semakin melebar,” ujarnya.
Selain itu, Barjoyai dalam masa sama turut mencadangkan supaya belanjawan negara pada masa akan datang perlu mengambil kira inti pati RMK13 bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran pembangunan yang dirancang.
“Kalau kita lihat dalam belanjawan sebelum ini tidak menyentuh mengenai RMK.
“Sepatutnya belanjawan yang dibuat setiap tahun perlu mengambil kira kandungan RMK supaya kita dapat lihat bagaimana perjalanannya,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

