RMK13: Kemakmuran sempadan bukan lagi pinggiran tetapi akses ekonomi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru selesai membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
RMK13 kali ini meletakkan asas baharu yang lebih inklusif dan strategik untuk negeri-negeri sempadan, khususnya Perlis dan Padang Besar.
Jika sebelum ini sempadan dilihat sebagai wilayah pinggiran, kini ia diangkat sebagai Akses Utama kepada masa depan ekonomi negara, keselamatan nasional dan integrasi serantau.
Perlis, jika dapat dimanfaatkan sepenuhnya bakal mendapat tempat yang signifikan dalam RMK13 melalui penekanan kepada pembangunan geostrategik, keselamatan rentas sempadan, pelaburan sektor strategik dan pemerkasaan rakyat.
Perlis: Pintu Emas Sempadan
Kedudukan Padang Besar sebagai pintu utama sempadan Malaysia–Thailand perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui pelbagai inisiatif dalam RMK13.
Antara projek tumpuan termasuk pembinaan Pelabuhan Darat Perlis, penaiktarafan kompleks CIQ (Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) serta infrastruktur jalan dan logistik.
Pendigitalan sempadan pula membolehkan pelaburan dan pergerakan barangan menjadi lebih pantas dan efisien, menjadikan Padang Besar sebagai hab logistik utama di utara tanah air.
Tumpuan kepada kawasan kurang membangun seperti Perlis dinyatakan melalui strategi B5.1, dengan penggunaan teknologi seperti AI geospatial dan pembangunan ekonomi berasaskan komuniti.
Peruntukan yang diagihkan untuk pembangunan wilayah sejak RMK12 akan terus dimanfaatkan bagi mempercepat transformasi luar bandar dan bandar-bandar kecil seperti Padang Besar.
Sektor baharu, peluang baharu
Perlis akan menjadi tapak kepada pembangunan sektor strategik baharu seperti hab perikanan bersepadu dan pengeluaran makanan berskala besar.
Penggunaan tanah terbiar secara optimum, digabungkan dengan potensi agroindustri dan pemprosesan makanan halal, bukan sahaja menjana pendapatan negeri, malah membuka ruang pekerjaan baharu di bawah inisiatif peningkatan pendapatan rakyat.
Ini selari dengan pendekatan RMK13 yang menekankan pembangunan berpaksikan potensi tempatan.
Kemakmuran sempadan
RMK13 juga menekankan kepentingan keselamatan sempadan melalui penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Kecaknaan kawalan sempadan dengan penggunaan teknologi tinggi seperti dron, radar, sistem biometrik dan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja membanteras jenayah rentas sempadan, malah meningkatkan kecekapan operasi anggota keselamatan.
Di samping itu, RMK13 memberi perhatian kepada kebajikan anggota keselamatan.
Melalui strategi D5.3, aspek kesejahteraan ditambah baik melalui penyediaan kuarters mampu milik, program pemilikan rumah, sokongan kebajikan persaraan dan latihan TVET bagi pesara yang ingin menceburi bidang baharu seperti pertanian moden dan keusahawanan.
Penyegaran ekonomi negeri Perlis
Unjuran RMK13 menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perlis dijangka berkembang pada kadar 4.9 peratus setahun bagi tempoh 2026–2030, terus meningkat menjelang2030.
Tumpuan sektor yang bakal menyumbang kepada lonjakan ini termasuklah perkhidmatan, logistik, pelancongan sempadan dan industri pembuatan berskala kecil.
Pendapatan isi rumah kasar penengah juga diramalkan meningkat kepada RM4,880 pada 2024 dan terus bertambah seiring pembukaan peluang pekerjaan dalam sektor AI, logistik dan agro-makanan.
Kawasan seperti Lembah Perindustrian Chuping dan Zon Pengeluaran Makanan dijangka menarik pelaburan swasta serta menjana pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Perlis.
ZEK: Antara janji dan realiti
Namun demikian, merujuk kepada laporan Berita Harian bertarikh 30 Julai 2025 bertajuk "Tiada cadangan wujudkan Zon Ekonomi Khas di sempadan Malaysia-Thailand – Kementerian Ekonomi” bagi menjawab persoalan yang saya bangkitkan di parlimen dan komentar akhbar berkenaan Dasar Ekonomi Sempadan Nasional, satu persoalan penting timbul, walaupun Strategi B5.4 dalam RMK13 dengan jelas menyatakan pewujudan Zon Ekonomi Khas sebagai agenda pembangunan sempadan, mengapa tiada satu pun kawasan sempadan diwartakan secara rasmi sebagai ZEK?
Kawasan seperti Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam sudah pun mempunyai pelabuhan darat, kompleks CIQ, serta akses kepada laluan dagang IMT-GT.
Maka, apakah rasional sebenar kerajaan tidak menzahirkan pelaksanaan ZEK di kawasan ini?
Apakah kriteria sebenar pewartaan ZEK, dan mengapa Malaysia masih ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia yang telah mewujudkan ZEK di wilayah sempadan masing-masing?
Tanpa pewartaan ZEK, pelaburan berskala besar mungkin tidak dapat ditarik masuk ke kawasan seperti Chuping atau Wang Kelian.
Justeru, kerajaan wajar menubuhkan satu Task Force Khas di bawah Majlis Ekonomi Sempadan Negara bagi mempercepat penilaian dan pelaksanaan ZEK secara menyeluruh.
Masa depan sempadan bermula, Perlis jadi perintis
RMK13 membuka lembaran baharu kepada Perlis dan Padang Besar, bukan sekadar sebagai laluan keluar masuk, tetapi sebagai pusat pertumbuhan baharu negara.
Gabungan strategi keselamatan, teknologi dan integrasi ekonomi menjadikan Perlis bukan lagi negeri pinggiran, tetapi nadi kepada keterhubungan serantau dan kemakmuran nasional jika dimanfaatkan.
Tiba masanya untuk kita membina sempadan, bukan sekadar mengawal sempadan.
RMK13 adalah peluang keemasan yang tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja.
*Rushdan Rusmi ialah Ahli Parlimen Padang Besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
