Karangkraf teruskan CSR Ramadan, bantu 1,000 keluarga B40

Akmal Eirfan (kiri) dan Juan (tengah) menunjukkan produk Nestle yang bakal diagihkan kepada penerima Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Akmal Eirfan (kiri) dan Juan (tengah) menunjukkan produk Nestle yang bakal diagihkan kepada penerima Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
A
A
A

SHAH ALAM – Karangkraf meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu komuniti setempat, terutamanya golongan miskin bandar sepanjang Ramadan ini.

Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Nestlé Malaysia menerusi penganjuran Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang menyasarkan 1,000 keluarga berpendapatan rendah (B40).

Program membantu komuniti diteruskan meskipun penganjuran Iftar Ala Madinah@Karangkraf yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya tahun lalu direhatkan sementara pada tahun ini.

Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, walaupun tiada penganjuran iftar, hasrat menyantuni komuniti tetap diteruskan melalui pendekatan berbeza.

“Walaupun tahun ini kita berehat sementara daripada Iftar Ala Madinah@Karangkraf, hasrat dan rancangan Karangkraf dalam membantu komuniti ini mesti diteruskan.

Nik Justin (dua dari kiri) bersama Juan (tengah) dan Akmal Eirfan (dua dari kanan). Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Nik Justin (dua dari kiri) bersama Juan (tengah) dan Akmal Eirfan (dua dari kanan). Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur

"Kita tetap melaksanakan program seperti ini dan menyambung objektif sebenar program CSR Karangkraf sepanjang Ramadan,” ujarnya ketika ditemui pada sesi pembungkusan barangan di Karangkraf pada Jumaat.

Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang dilaksanakan pada minggu kedua dan ketiga Ramadan itu menyasarkan 1,000 keluarga di Lembah Klang dan Pantai Timur dengan agihan 1,000 set barangan keperluan asas bernilai antara RM250 hingga RM300 setiap set.

Artikel Berkaitan:

Di Lembah Klang, program bermula pada 26 Februari di Kota Damansara sebagai majlis pembukaan sebelum diteruskan ke Subang Jaya, Klang, Bangi dan Shah Alam sehingga 4 Mac 2026, membabitkan 500 set sumbangan kepada 100 keluarga bagi setiap komuniti.

Bagi zon Pantai Timur pula, program dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Mac 2026 di Kota Bharu, Kuantan dan Kuala Terengganu dengan jumlah keseluruhan 500 set sumbangan.

Kira kira 100 sukarelawan terlbat dalam melaksanakan kerja pembungkusan. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Kira kira 100 sukarelawan terlbat dalam melaksanakan kerja pembungkusan. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur

Antara barangan yang diagihkan ialah pek Milo, susu, mi segera, Nestum, bijirin sarapan Coco Crunch dan Honey Star, Nescafe 3 dalam 1, sos cili dan tomato, bahan masakan asas serta kit kebersihan wanita.

Dalam masa sama, inisiatif baharu dikenali sebagai Kempen Satu Rumah Satu al-Quran turut diperkenalkan, iaitu setiap keluarga menerima senaskhah al-Quran terbitan Karya Bestari bagi melengkapkan keperluan rohani dan jasmani sepanjang Ramadan.

“Ramadan ialah bulan yang mengajar kita tentang empati dan kepedulian. Melalui program ini, kami berharap dapat mendekati dan memahami realiti kehidupan golongan miskin bandar di samping memberi sokongan moral agar mereka dapat menjalani Ramadan dengan lebih bermakna,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, Ramadan ialah detik istimewa untuk memperkukuh solidariti dan kebersamaan dalam masyarakat.

“Kami sangat komited untuk menyokong komuniti. Ramadan ialah momen istimewa apabila masyarakat berkumpul dan menunjukkan solidariti, khususnya kepada mereka yang memerlukan. Kami amat gembira dapat menyumbang bersama-sama,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai organisasi yang telah bertapak lebih satu abad, memberi kembali kepada masyarakat ialah tanggungjawab yang amat dihargai selain sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sekian lama mempercayai produk Nestlé.

Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan komitmen jangka panjang syarikat untuk menjadi warga korporat yang baik melalui pelbagai inisiatif termasuk kelestarian dan perlindungan alam sekitar.

Sukarelawan terlbat dalam melaksanakan kerja pembungkusan bergambar bersama pegawai kanan Nestle dan Karangkraf. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Sukarelawan terlbat dalam melaksanakan kerja pembungkusan bergambar bersama pegawai kanan Nestle dan Karangkraf. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif murni ini.

Beliau secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Nestlé Malaysia atas sokongan padu dan kerjasama strategik yang diberikan, yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran agihan bantuan kali ini.

Menurut beliau, sinergi antara korporat dan komuniti seperti ini amat penting dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Program itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan semua pihak, sekali gus menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik bagi memperluas bantuan kepada komuniti yang memerlukan di seluruh negara.

Ringkasan AI

  • Karangkraf dengan kerjasama Nestlé Malaysia menjalankan Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 untuk membantu 1,000 keluarga B40
  • Program ini menyediakan 1,000 set barangan keperluan asas dan kit kebersihan serta sebuah al-Quran untuk setiap keluarga
  • Usaha ini dilakukan meskipun program Iftar Ala Madinah@Karangkraf berehat sementara pada tahun ini
  • Agihan bantuan dilaksanakan pada minggu kedua dan ketiga Ramadan di Lembah Klang dan Pantai Timur
  • Inisiatif ini menekankan pada pemberian kembali kepada masyarakat dan keinginan untuk memperkuat solidariti serta kebersamaan semasa Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!