Bersih sedia bekerjasama dengan Rafizi gerakkan himpunan aman SPRM

Faisal
Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sedia bekerjasama dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi menggerakkan satu himpunan aman berhubung isu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan media antarabangsa Bloomberg.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz menyifatkan perkara berkenaan sebagai isu besar yang memerlukan gerakan rakyat bagi memastikan SPRM benar-benar bersih dan berfungsi secara bebas serta berintegriti.

"Secara prinsip Bersih bersedia untuk bekerjasama menggerakkan himpunan aman ini, ia isu besar yang memerlukan gerakan rakyat untuk memastikan SPRM benar-benar dibersihkan.

"Tuntutan Bersih jelas, siasatan bebas perlu dilakukan dan kerajaan harus laksanakan agenda reformasi SPRM segera," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat bekas Rafizi yang dilaporkan akan menulis kepada Bersih bagi mencadangkan agar gabungan itu memimpin satu demonstrasi awam berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan SPRM.

Menurut beliau, tindakan lanjut berhubung penganjuran himpunan itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

"Bersih akan adakan pertemuan bersama rakan-rakan gabungan dalam masa terdekat untuk bincang secara terperinci berkaitan tindakan termasuk perhimpunan yang bakal dianjurkan nanti," katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Bloomberg mengeluarkan laporan berhubung pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang didakwa mencecah jutaan unit.

Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun menegaskan transaksi itu telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan pada tahun lalu. Beliau juga memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan itu.

Ringkasan AI

  • Bersih sedia bekerjasama dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menggerakkan himpunan aman berhubung isu SPRM
  • Isu tersebut memerlukan gerakan rakyat untuk memastikan SPRM beroperasi dengan bersih, bebas, dan berintegriti
  • Tuntutan Bersih adalah siasatan bebas harus dilakukan dan kerajaan perlu segera laksanakan agenda reformasi SPRM
  • Himpunan aman ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam pertemuan Bersih dan gabungan rakan-rakannya
  • Laporan Bloomberg mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd dan beliau telah melupuskan saham tersebut serta memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!