RMK13: RM51 bilion bukti komitmen kukuhkan keselamatan negara

PUTRAJAYA – Peruntukan sebanyak RM51 bilion kepada sektor keselamatan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan bukti bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam dunia yang kian mencabar dengan pelbagai ancaman termasuk rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, pemerdagangan manusia dan ekstremisme, keperluan memperkukuh keupayaan operasi, logistik dan teknologi agensi keselamatan amatlah penting.
“RMK13 bukan sekadar merancang pertumbuhan ekonomi secara konvensional, tetapi turut menekankan nilai kemanusiaan, keadilan sosial, tadbir urus berintegriti serta keberhasilan yang inklusif dan saksama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Beliau turut menyambut baik inisiatif memodenkan sistem imigresen melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional serta penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) yang disifatkan sebagai langkah tepat pada waktunya.
Katanya, pendekatan tersebut akan membolehkan pasukan keselamatan berfungsi dengan lebih efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa, termasuk kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas penekanan serius kerajaan terhadap kebajikan warga kerja keselamatan, termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain yang berkhidmat di barisan hadapan.
Menurutnya, penyediaan 1,368 unit kuarters baharu PDRM dan 3,088 unit kuarters ATM yang telah siap, ditambah 8,501 unit yang sedang dibina serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang telah dibaik pulih, merupakan langkah bermakna dalam menjaga kesejahteraan anggota dan keluarga mereka.
“Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi sekiranya keperluan asas mereka diabaikan,” katanya.
Saifuddin turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui senjata dan bilangan anggota keselamatan, tetapi menerusi ekosistem sokongan yang menyeluruh, dari latihan, logistik, teknologi hingga kebajikan.
Beliau turut menyatakan komitmen penuh kementeriannya untuk mendukung pelaksanaan RMK13 dan memastikan inisiatif keselamatan dalam negeri dilaksanakan dengan berkesan demi menjamin keamanan hidup rakyat.
“Semoga usaha murni yang digariskan dalam RMK13 ini akan membuahkan hasil yang berkekalan, bukan sekadar dalam bentuk angka pertumbuhan atau statistik pelaburan, tetapi lebih utama dalam bentuk ketenteraman, keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

