PLUS, UEM Lestra bangun ladang solar di Ayer Keroh

Nik Airina (kiri) bersama Harman Faiz menandatangani MoU untuk meneroka projek solar berskala besar.
Nik Airina (kiri) bersama Harman Faiz menandatangani MoU untuk meneroka projek solar berskala besar.
A
A
A

INISIATIF tenaga boleh diperbaharui menerusi projek solar berskala besar (LSS) menjadi fokus utama Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama itu merangkumi cadangan pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 81 hektar, yang merupakan sebahagian daripada Fasa 2 Pelan Utama Konsep Tanah Ayer Keroh oleh PLUS.

“Keseluruhan pelan induk ini merangkumi tanah seluas 137 hektar bagi pembangunan bercampur yang turut merangkumi runcit mobiliti dan perumahan di bawah Fasa 1 dan 3.

“Pemeteraian MoU tersebut sejajar dengan aspirasi nasional negara untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang tahun 2050,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerjasama antara PLUS dan UEM Lestra merangkumi cadangan pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 81 hektar, Fasa 2 dalam Pelan Utama Konsep Tanah Ayer Keroh oleh PLUS
Kerjasama antara PLUS dan UEM Lestra merangkumi cadangan pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 81 hektar, Fasa 2 dalam Pelan Utama Konsep Tanah Ayer Keroh oleh PLUS

Terdahulu, majlis menandatangani MoU telah diadakan di Persada PLUS dan disempurnakan oleh Nik Airina serta Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad.

Pemeteraian persefahaman itu turut merangkumi usaha bersama mengenal pasti tapak-tapak lain yang bersesuaian dengan tujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di samping menyokong agenda kelestarian negara.

Tambah Nik Airina, kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat tersebut merupakan permulaan merealisasikan visi lebih luas bagi membuka potensi aset tanah milik PLUS untuk pembangunan baharu merangkumi infrastruktur hijau dan inisiatif lestari.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama dengan UEM Lestra mencerminkan komitmen PLUS dalam memainkan peranan proaktif terhadap pembangunan lestari menerusi penggunaan infrastruktur serta aset tanah strategik bagi penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

“Inisiatif ini juga menyokong pelan jangka panjang PLUS ke arah lebuh raya selamat sekali gus mengukuhkan peranan kami sebagai rakan pembangunan negara menerajui inovasi dan pemeliharaan alam sekitar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Harman Faiz berpandangan, kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perancangan strategik UEM Lestra bagi sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

“Berdasarkan pengetahuan teknikal serta keupayaan pengurusan projek, kami komited merealisasikan pembangunan ladang solar berskala besar yang lestari dan berimpak tinggi di Ayer Keroh atas tanah milik PLUS.

“Kami juga akan memperluas inisiatif seumpamanya ke lokasi lain manakala UEM Lestra yang berpengalaman dalam tenaga boleh baharu dan berkeupayaan teknikal akan mengetuai perancangan serta penilaian kebolehlaksanaan projek LSS,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!