Ringgit naik 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025 - Gabenor BNM

Abdul Rasheed Ghaffour
Abdul Rasheed Ghaffour
A
A
A

RINGGIT meningkat 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025, didorong oleh faktor luaran dan dalam negeri, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit menambah nilai sebanyak 3.8 peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia pada suku keempat 2025.

"Dari aspek luaran, perbezaan kadar faedah yang mengecil susulan penurunan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober dan Disember telah menyokong prestasi ringgit pada suku tahun tersebut,” katanya.

Beliau berkata, penambahan nilai ringgit didorong oleh ketidaktentuan berkaitan tarif yang berkurangan apabila AS memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan beberapa rakan dagangannya di rantau ini, termasuk Malaysia.

Dalam negeri, katanya prospek ekonomi Malaysia yang positif disokong oleh usaha pembaharuan, terus mengukuhkan keyakinan pelabur dan menambah baik sentimen keseluruhan dalam pasaran kewangan domestik.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata pada 2025, ringgit meningkat 10.2 peratus berbanding dolar AS manakala penambahan nilai NEER ringgit adalah sebanyak 6.3 peratus.

"Pada masa depan, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran," katanya, sambil menambah asas dalam negeri yang berdaya tahan dijangka memberikan sokongan berterusan kepada ringgit.

"Selain itu, usaha bersepadu oleh kerajaan dan BNM akan terus menggalakkan aliran dua hala yang kukuh dalam pasaran kewangan domestik.

"Usaha yang sedang dijalankan ini termasuk program Qualified Resident Investor (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negeri serta libat urus proaktif dengan pelabur, pengeksport dan pengimport," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, BNM juga akan terus memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.

Pada hari terakhir tahun 2025, ringgit ditutup pada 4.0580/0620 berbanding dolar AS.

Pada sesi dagangan pagi ini, ringgit diniagakan pada 3.8945/9110 berbanding dolar AS. - Bernama

Ringkasan AI

  • RINGGIT meningkat 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025 Kadar pertukaran efektif nominal ringgit menambah nilai sebanyak 3.8 peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama Perbezaan kadar faedah yang mengecil susulan penurunan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menyokong prestasi ringgit Penambahan nilai ringgit didorong oleh ketidaktentuan berkaitan tarif yang berkurangan Perjanjian perdagangan antara AS dan beberapa rakan dagangannya, termasuk Malaysia, mempengaruhi prestasi ringgit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!