'Tutup ladang babi haram ganggu penduduk Ayer Kuning'

Idris (kiri) ketika sidang akhbar eksklusif di bilik gerakan PN pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN
Idris (kiri) ketika sidang akhbar eksklusif di bilik gerakan PN pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

BIDOR - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan Perak menutup ladang babi haram serta-merta dan memindahkan premis yang berhampiran Kampung Tanjung Keramat ke lokasi lebih sesuai.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya turut meminta kerajaan negeri mewajibkan penggunaan sistem penternakan moden yang tidak mengeluarkan bau dan mengamalkan konsep sifar pelepasan ke dalam sungai.

Menurut beliau, PN mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri meluluskan lesen pengoperasian ladang babi di kawasan majoriti penduduk Melayu Islam.

“Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, daerah Batang Padang dan Muallim sahaja terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen. Jika dicampur ladang haram, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

“Tinjauan lapangan saya mendapati banyak ladang babi sama ada diluluskan atau dibina secara haram. Lebih mendukacitakan, penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.

“Risiko penyakit berjangkit dan ancaman kesihatan akibat sisa daripada ladang-ladang ini juga sentiasa menganggu penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar eksklusif di bilik gerakan PN di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendedahkan terdapat ladang babi beroperasi di Ayer Kuning, lebih-lebih lagi di Kampung Tanjung Keramat yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi terbabit memberitahu, penduduk di kawasan berkenaan menyatakan ketidakpuashatian kerana isu tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.

Mengulas lanjut, Idris berpandangan, kerajaan negeri perlu bertindak segera kerana pengoperasian ladang babi tersebut dibimbangi mampu mengulangi insiden demam babi Afrika (ASF) yang pernah melanda Batang Padang pada 2023 lalu.

“Begitu juga insiden virus Nipah dan Japanese Encephalitis (JE) yang sebelum ini pernah meragut nyawa rakyat Malaysia, semuanya berkaitan penternakan babi.

“Jika kerajaan Pahang boleh bertindak tegas terhadap kebun durian musang king haram, mengapa tidak kerajaan Perak?

“Kami mahu tindakan tegas, bukan alasan. Rakyat Ayer Kuning sudah lama menderita,” ujar Ahli Parlimen Bagan Serai itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!