Terengganu larang jualan vape bermula esok

Kerajaan Terengganu larang penuh penjualan vape bermula 1 Ogos 2025. Gambar hiasan.
Foto kecil: Wan Sukairi
Kerajaan Terengganu larang penuh penjualan vape bermula 1 Ogos 2025. Gambar hiasan. Foto kecil: Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan melaksanakan larangan penuh terhadap penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan seluruh negeri bermula esok.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 23 April lalu sebagai langkah proaktif membendung penularan penggunaan vape terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, penguatkuasaan larangan itu dilaksanakan mengikut undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pengusaha yang ingkar.

"Kerajaan negeri akan lebih serius dalam menguatkuasakan peraturan ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggarnya.

"Mana-mana pengusaha vape yang masih meneruskan aktiviti perniagaan tersebut akan dikenakan tindakan kompaun, penyitaan barangan dan berdepan pendakwaan di mahkamah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menzahirkan harapan agar langkah itu memberi kesan positif terhadap kesihatan dan masa depan rakyat Terengganu.

"Semua pihak diharap dapat menghormati dan mematuhi peraturan baharu ini serta memberi kerjasama demi menjayakan usaha membanteras amalan pengambilan vape.

"Semoga tindakan ini akan memberi kesan positif kepada kesihatan dan masa depan rakyat serta dapat melahirkan generasi bebas vape dan lebih sihat," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!