KKM pertimbang haramkan vape secara menyeluruh

Dr Dzulkefly.
Dr Dzulkefly.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu penyalahgunaan produk itu secara lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, pelaksanaan pengharaman ini perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

“Penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada serta keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat secara keseluruhan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik atau Vape juga telah diadakan pada 22 Julai lalu bagi meneliti isu-isu terkait strategi pengawalan vape dan pengukuhan kawalan terhadap produk merokok,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang memintanya menyatakan pendirian KKM terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik atau vape di negeri masing-masing.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik atau Vape turut mencadangkan kajian penilaian terhadap aspek perundangan, industri, hasil kerajaan dan pelesenan sekiranya penjualan serta penggunaan rokok elektronik atau vape ingin diharamkan.

Susulan itu katanya, KKM merancang untuk mengadakan perbincangan terperinci bersama empat kementerian dan jabatan utama, iaitu Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Jabatan Peguam Negara.

“Buat masa ini, kementerian memberi keutamaan kepada pendekatan kawal selia yang ketat terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

“Ia merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan terhadap penjualan, serta larangan merokok di tempat kawasan larangan merokok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!