'Jangan tunduk kepada peniaga vape' - CAP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik dan menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan melarang sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik (vape) di seluruh negara.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu dilihat sebagai titik tolak penting dalam melindungi generasi muda daripada ancaman ketagihan dan kerosakan kesihatan yang kian membimbangkan.

Menurutnya, keputusan tersebut amat bertepatan dengan situasi semasa apabila penggunaan vape dalam kalangan belia semakin tidak terkawal dan menjadi isu sosial serta kesihatan yang serius.

"Larangan secara total perlu dikuatkuasakan segera kerana produk vape dan tembakau terbukti berbahaya serta mengandungi bahan toksik yang boleh mengakibatkan ketagihan melampau.

“Lebih membimbangkan, terdapat peningkatan kes vape yang dicampur dengan bahan terlarang. Ini bukan sekadar isu rokok elektronik, ia sudah menjurus kepada masalah narkotik yang lebih berat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak tunduk kepada tekanan daripada peniaga vape yang hanya memikirkan keuntungan, sedangkan generasi muda sedang menghadapi risiko besar terhadap kesihatan dan masa depan mereka.

“Kerajaan sebelum ini cuba mengawal selia penjualan vape, tetapi ia terbukti tidak berkesan.

"Malah, masalah menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa memberi ruang kepada industri,” ujarnya.

Mohideen menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan berhenti mendengar suara industri dan sebaliknya memberi fokus kepada data, statistik serta impak jangka panjang terhadap kesihatan awam.

Artikel Berkaitan:

“Kami menggesa KKM agar terus kekal dengan pendirian ini dan tidak berpaling tadah. Masanya untuk bertindak bukan esok, tetapi hari ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, kerajaan sedang mengkaji untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara sebagai langkah menjaga kesihatan awam sebagai perlindungan terhadap remaja serta kanak-kanak.

Bagaimanapun pengharaman itu akan dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada dan keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kesejahteraan rakyat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!