Bot persiaran 'Khalifah' bantu 64 keluarga nelayan ubah taraf hidup

KUALA TERENGGANU - Nasib 64 keluarga nelayan di Seberang Takir, Kuala Nerus bakal terbela menerusi usaha menjana sumber ekonomi baharu dalam sektor pelancongan melalui pengoperasian empat bot persiaran di bawah seliaan Koperasi Warisan Seberang Takir Berhad (KWSTB).
Inisiatif yang menerima suntikan geran sebanyak RM1 juta menerusi Program Desa Lestari daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu disasarkan mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM20,000 sebulan.
Pengerusi KWSTB, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penambahan dua aset bot terbaharu yang dinamakan Khalifah 1 dan Khalifah 2 bukan sahaja melengkapkan infrastruktur sedia ada, malah turut memperkukuh landskap perkhidmatan pelancongan menyusuri sungai di Terengganu.
Menurut beliau, projek yang mula digerakkan pada 2024 itu merupakan inisiatif serampang dua mata kerana bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup 64 ahli koperasi daripada komuniti nelayan, malah turut membuka peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi penduduk tempatan.
"Kita bersyukur kerana berjaya merealisasikan perancangan awal dengan melancarkan dua bot pelancong baharu yang beroperasi dari Pulau Warisan sebagai hab pelancongan.
"Dengan tambahan dua bot ini, kita berharap dapat membantu 64 keluarga nelayan meningkatkan pendapatan, terutama ketika musim tengkujuh apabila mereka tidak dapat turun ke laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bot Khalifah 1 dan Khalifah 2 di Pulau Warisan, di sini.
Majlis berkenaan turut disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Datuk Dr Roslan Mahmood.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, pihak koperasi turut merangka inisiatif kebajikan dengan menyalurkan sumbangan barangan dapur dan keperluan asas kepada keluarga nelayan terbabit bagi meringankan beban kewangan mereka ketika menghadapi cabaran musim tengkujuh.
Katanya, dari segi operasi, perkhidmatan bot pesiaran itu dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam, dengan kapasiti maksimum 24 penumpang bagi setiap bot.
"Buat masa ini, laluan perkhidmatan meliputi Sungai Terengganu hingga ke Pulau Kapas, Marang, namun kita merancang memperluas operasinya ke Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah pada awal tahun depan.
"Sambutan yang diterima sejak sebulan beroperasi amat menggalakkan apabila kita mampu menjana RM50,000 dalam tempoh 10 hari ketika musim cuti, manakala pada hari biasa kutipan adalah sekitar RM20,000," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, koperasi itu turut menerima geran tambahan berjumlah RM70,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membiayai pembinaan sebuah kafe di Pulau Warisan.
Tambahnya, kemudahan baharu itu dijangka melengkapkan ekosistem pelancongan sedia ada, sekali gus menjadikan Pulau Warisan sebagai antara destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

