Ular sawa 150kg sembunyi dalam longkang berhampiran gerai

KUALA TERENGGANU — Seekor ular sawa seberat hampir 150 kilogram berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Terengganu selepas dikesan bersembunyi di dalam longkang berdekatan gerai menjual air nyiur di Jalan Budiman, Batu Buruk di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Terengganu, Mejar (PA) Muhamad Hanafi Hamdzah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 7.40 pagi berhubung penemuan haiwan liar berkenaan pada Rabu lalu.
"Sebaik menerima maklumat, sebuah jentera bersama sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, usaha menangkap reptilia sepanjang empat meter itu berdepan cabaran tersendiri kerana kedudukannya di dalam ruang yang agak sempit sebelum berjaya dikawal.
"Anggota APM mengambil masa selama empat jam untuk menangkap reptilia itu kerana saiznya yang besar serta agresif ketika cuba dikeluarkan dari longkang tersebut.
"Operasi menangkap ular berkenaan itu akhirnya selesai sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

