[VIDEO] 'Bunyi dentuman kuat rupanya bot dirempuh nelayan asing'

A
A
A

​KUALA TERENGGANU – Lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bot lain ketika sedang berlabuh kira-kira 33 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, di sini, awal pagi Isnin.

Mamat menunjukkan bahagian badan bot sebelah kiri yang dipercayai dirempuh sebuah bot nelayan asing dalam kejadian kira-kira 33 Batu nautika dari perairan Kuala Terengganu awal pagi Isnin.
Mamat menunjukkan bahagian badan bot sebelah kiri yang dipercayai dirempuh sebuah bot nelayan asing dalam kejadian kira-kira 33 Batu nautika dari perairan Kuala Terengganu awal pagi Isnin.

​Tekong bot, Mamat Abdullah, 79, dari Kampung Batin, Kuala Nerus berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika dia bersama empat awak-awak sedang berehat sementara menunggu untuk pulang ke daratan.

​Menurutnya, dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum segera keluar untuk memeriksa keadaan dan mendapati bahagian sebelah kanan badan bot mengalami kerosakan.

​"Ketika kejadian, saya bersama awak-awak sedang berlabuh sementara tunggu hari cerah. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

​"Bila periksa, saya dapati bahagian bot sudah pecah, tapi mujur bot kami tidak dimasuki air kerana keadaan laut ketika itu tidak hujan dan bergelora," katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Pulau Ketam, di sini pada Isnin.

Lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bot lain ketika sedang berlabuh.
Lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bot lain ketika sedang berlabuh.

Artikel Berkaitan:

​Mamat berkata, dia segera meminta awak-awak meletakkan tong berisi air di bahagian kiri bagi membolehkan bot senget ke kiri dan mengelak bahagian kanan dimasuki air.

Mamat berkata, dia yakin bot terlibat bukan milik nelayan tempatan berdasarkan perancah buluh yang kelihatan dalam kesamaran, namun tidak dapat memastikan dengan tepat kerana hanya melihat bot itu dari arah belakang.

"Kejadian berlaku dengan pantas menyebabkannya hanya sempat melihat bot yang merempuh botnya berlalu pergi.

"Lagipun waktu tu saya dah tak fikir lain dah, hanya nak pastikan saya dan awak-awak bot selamat balik ke darat sebab jarak kedudukan bot dengan darat waktu tu agak jauh," katanya.

Jelasnya, ​selepas memastikan bot berada dalam keadaan selamat untuk perjalanan pulang, dia mengambil keputusan untuk membawa kesemua awak-awaknya bertolak balik.

​"Kejadian semalam tu jadi pengalaman pertama saya sepanjang 59 tahun menjadi nelayan. Sebelum ni tak pernah lagi bot yang saya bawa dirempuh bot lain.

​"Mujurlah, selepas lebih lima jam perjalanan, kami berlima selamat kembali ke jeti kira-kira jam 5 petang semalam (Isnin)," ujarnya.

Mamat memberitahu, laporan polis berhubung kejadian itu akan dibuat petang Selasa bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Katanya lagi, setakat ini anggaran kerugian bot yang menggunakan kayu cengal itu tidak dapat dinilai secara tepat kerana bergantung kepada harga semasa ditetapkan oleh tukang bot.

​"Saya difahamkan kerja baik pulih bot ni mungkin ambil masa lebih dua minggu dengan kos melebihi RM10,000 sebab kerosakan tu agak teruk," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!